Perangkap sampah 'jerat' sisa pepejal di pantai

Kerja-kerja pembersihan pantai yang dilakukan berjaya mengutip kira-kira 50 hingga 100 tan sampah di pesisiran pantai Tanjung Lumpur hari ini.
Kerja-kerja pembersihan pantai yang dilakukan berjaya mengutip kira-kira 50 hingga 100 tan sampah di pesisiran pantai Tanjung Lumpur hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang bercadang memasang perangkap sampah di longkang monsun besar di beberapa lokasi bagi mengurangkan masalah sampah pepejal di pesisiran pantai di daerah ini.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, perangkap akan dipasang di Semambu, Indera Mahkota, Galing dan Tanah Putih selepas tinjauan dan pemerhatian dilakukan.

Menurutnya, pemasangan perangkap itu sekali gus membantu menjadikan kawasan pesisiran pantai di daerah ini lebih bersih.

"Berdasarkan tinjauan, kita dapati sampah berkenaan adalah sisa pepejal plastik domestik dan sebagainya.

"Dengan pemasangan perangkap itu nanti, diharapkan ia akan dapat mengurangkan masalah sampah yang tersadai di pantai. Kita juga akan kerjasama dengan Jabatan Pengairan Dan Saliran negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi pembersihan pesisir pantai di Pantai Tanjung Lumpur di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Ab Malik Arifin dan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Negeri Pahang, Mat Sani Tahir.

Dalam pada itu, Shahrudin berkata, pihaknya juga melakukan tinjauan bagi mengenal pasti punca sampah terdampar di pesisir pantai di Hujung Tanjung Lumpur yang semakin buruk pada musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sharudin berkata, dianggarkan 50 hingga 100 tan sampah berjaya dikutip sepanjang pantai sejauh dua kilometer di pesisiran pantai Tanjung Lumpur dalam operasi pembersihan yang diadakan itu, semalam.

Menurutnya, ketika ini SWCorp melalui syarikat konsesi Alam Flora bertanggungjawab dalam kerja pembersihan lapan pantai utama di Kuantan iaitu di Pantai Teluk Cempedak, Pantai Tanjung Lumpur, Pantai Gelora, Pantai Pelindung, Pantai Cherating, Pantai Chendor, Pantai Batu Hitam dan sebahagian Pantai Sepat.