Daripada hal soalan dan jawapan

A
A
A

KOMUNIKASI dua hala itu menarik apabila ia diselang-seli dengan soalan dan jawapan. Komunikasi jadi tidak seimbang andainya ia dipenuhi soalan sepertimana interogasi.

Komunikasi yang dipenuhi dengan jawapan atau keterangan itu juga membosankan sebagaimana sesebuah ceramah.

Soalan muncul kerana rasa jujur rasa ingin tahu. Dan jawapan yang jujur juga adalah untuk memberitahu. Soalan yang bertolak daripada rasa ingin menduga akan lain macam susunannya.

Lazimnya yang bertanya sudah tahu jawapannya. Soalan yang ditanya oleh orang yang mahukan jawapan menurut kehendaknya pula mempunyai nada yang sinis, menyindir dan mengancam.

Begitu juga jawapan yang bertujuan untuk mengena orang yang bertanya boleh dijawab dengan soalan pula.

Ataupun jika yang kena soal itu tidak jujur, jawapannya akan panjang dan berbelit-belit sedangkan yang sebenarnya dia tidak menjawab pun soalan-soalannya.

Jawapan betul kepada soalan itu bergantung kepada pengetahuan mereka yang ditanya. Sebab itulah, soalan yang mudah pun tidak boleh dijawab seandainya orang yang ditanya itu tiada pengetahuan mengenainya.

Soalan yang mudah seperti apakah prinsip-prinsip Rukun Negara tidak akan dapat dijawab oleh mereka yang tiada pengetahuan mengenainya. Justeru, tidak semua orang boleh jawab soalan yang mudah.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, hampir kesemua orang tak akan boleh menjawab soalan yang susah. Ertinya, perkara mudah yang disampaikan dalam bentuk soalan yang susah tentunya menyukarkan orang yang ditanya.

Jika ditanya apakah nama sebuah bandar di pantai barat Malaysia yang telah ditemui pada 1857, tidak ramai yang dapat memberi jawapan. Jawapan pada soalan itu adalah Kuala Lumpur.

Betapa pun, kunci penyebaran ilmu ialah melalui soalan dan jawapan. Namun, soalan mestilah mudah difahami agar jawapan yang tepat dapat diberi.

Soalan yang sukar difahami akan memesongkan jawapan. Jawapan yang terpesong menggagalkan penyampaian ilmu.

Dalam proses pendidikan di sekolah, mengikut adab belajar, apabila murid bertanya soalan, guru akan menjawab. Bila guru hendak menguji kefahaman pula, guru bertanya pula pada murid dan murid akan menjawab. Bila murid dapat menjawab, itu bermakna proses penyampaian ilmu telah berlaku.

Namun, akhir-akhir ini, proses pembelajaran yang begitu mudah untuk menyampaikan ilmu itu telah disusahkan dengan soalan-soalan yang sukar.

Kononnya untuk melihat sama ada seseorang pelajar itu mempunyai kebolehan berfikir aras tinggi.

Sayangnya, kebolehan berfikir aras tinggi itu sebenarnya menguji pelajar akan kebolehan memahami soalan aras tinggi!

Sayang. Si pelajar yang sudah faham ilmu yang dipelajari tidak dapat menjawab semata-mata kerana dia tidak fahamkan soalan.

Seharusnya yang ingin diketahui daripada pelajar itu ialah kebolehannya menaakul dalam jawapannya, bukan kebolehannya memahami soalan terhadap perkara mudah yang disukarkan.

Mengapa menguji pelajar dengan soalan yang sukar difahami? Jika mereka tidak dapat menjawab, ia bukan bererti pelajar itu tidak pandai. Dia hanya tidak fahamkan soalan.

Kita yang pandai ini pun tidak mudah faham soalan (sekadar contoh) orang bisu. Dia bertanya jalan menghala ke surau, misalnya. Tetapi oleh kerana kita tidak faham akan soalan secara orang bisu, sudah tentu kita sukar menjawabnya.

Barangkali, mungkin kita akan tunjukkan jalan menghala ke pasar pula!

Justeru, mengapa pula disusah-susahkan soalan hingga pelajar sukar menjawabnya? Apakah peperiksaan itu untuk mengukur kebolehan menyoal aras tinggi?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian