Mengurus kebangkitan semula

A
A
A

MINGGU ini akan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2019. Satu perhimpunan terbesar orang Melayu di mana kali kedua berlangsung selepas UMNO tidak lagi menjadi parti teras kepada pemerintahan negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ramai menjangkakan perhimpunan tahun ini akan lebih bersemangat berbanding tahun lalu ketika UMNO baru sahaja dikejutkan dengan kejatuhan dan kekalahan.

Menjadi resam kehidupan dan adat dalam jatuh bangun sesebuah peradaban dan kekuasaan yang sentiasa tidak akan selamanya berada di puncak kuasa.

Itulah jua yang berlaku kepada UMNO. Namun yang paling utama, UMNO telah melalui dan merasai fasa kejatuhan dan kekalahan. Kini UMNO sedang meniti fasa kebangkitan semula untuk parti teras orang Melayu-Islam-bumiputera ini menuju kepada hala tuju perjuangan yang lebih utuh dan perkasa.

Menyorot kembali episod pahit getir dan saat duka ketika mengalami kekalahan pada Mei 2018, UMNO kehilangan ramai pemimpinnya yang melompat keluar daripada bahtera perjuangan tatkala parti sedang dilanda gelombang.

Bagaikan dirasuk, UMNO seolah-olah hilang pedoman dan arah tuju buat seketika. Di saat itu juga ramai yang melihat jangka hayat UMNO hampir pasti menemui pengakhirannya.

Ramai juga yang mencemuh dan menghina para pendukung parti, sehingga ada yang berasa malu untuk memakai baju berlambangkan bendera dan logo UMNO.

Kini semua itu adalah kenangan pahit yang mula terasa manis untuk dikenang kerana berharganya pengalaman yang diperoleh akibat kekalahan.

Artikel Berkaitan:

Namun itu semua juga bukanlah satu pengakhiran dan kejayaan kepada sebuah perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Masih terlalu banyak agenda yang perlu dilakukan.

Kekuatan

Hakikatnya UMNO hanya telah berjaya keluar daripada fasa kekalahan dan sedang melangkah untuk membina semula kekuatan parti pada fasa kedua kebangkitan semula. Inilah yang dikatakan sebagai agenda untuk bangkit kembali.

Segalanya tidak mudah, kerana tanpa dana dan bantuan kewangan, para pendukung parti perlu berkorban segalanya.

Keadaan yang benar-benar menduga kita tentang erti pengorbanan, perjuangan, kesetiaan dan keikhlasan.

Empat prinsip yang benar-benar perlu disemat di dada dan pasti akan menjadi agen perubahan yang paling ampuh dalam mengangkat kembali UMNO sebagai wadah perjuangan tulen orang Melayu.

Satu realiti dan hakikat yang semakin terjelma, UMNO sedikit demi sedikit mulai diterima semula oleh rakyat.

Namun ini juga tidak boleh menjadikan kita alpa dan lalai, kerana ini hanyalah satu permulaan dan ujian untuk membina semula kekuatan parti.

Kebangkitan adalah sesuatu yang perlu diuruskan dengan betul dan tidak boleh dibiarkan datang menerpa begitu sahaja.

Sebaliknya perlu ditangani dengan bijaksana dan penuh waspada agar segala kesilapan lalu yang pernah dilakukan dahulu tidak berulang lagi.

Di kesempatan ini, mewakili seluruh kerabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Dukungilah parti keramat orang Melayu ini dengan penuh keikhlasan dan perjuangan seperti mana keramatnya suara UMNO menolak Malayan Union dan menuntut kemerdekaan dahulu.

UMNO akan terus diterima bukan kerana kuasa yang dimilikinya, tetapi kerana luhurnya perjuangan yang dibawa, terus didokong bukan kerana wang yang ditawarkan, tetapi kerana acuan perjuangannya yang tulen untuk negara.

UMNO juga akan terus disokong bukan kerana pemimpinnya yang bangkit tetapi kerana institusi ini adalah untuk orang Melayu, agama Islam dan rakyat seluruhnya.

Kepada sahabat seperjuangan daripada Pas, MCA dan MIC dan rakan-rakan daripada Barisan Nasional, moga muafakat perjuangan yang kita bina ini terus diperkasakan demi Malaysia yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Bangkitlah untuk Malaysia.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia