PRK Kimanis: SPR tunggu perakuan Mahkamah Persekutuan

A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabah yang kini kosong susulan keputusan mahkamah semalam.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya mengambil maklum dan akur keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas adalah tidak sah dan terbatal.

“SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan kekal keputusan batal kemenangan Anifah

Calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi. - Bernama