Kemelut dua kem kejayaan 'batu api'

Program Sinar Live bertajuk Dua kem PKR semakin bergolak? di Komplek Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
Program Sinar Live bertajuk Dua kem PKR semakin bergolak? di Komplek Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemelut antara dua kem pimpinan atasan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini dilihat begitu ketara disifatkan sebagai kejayaan kepada golongan 'batu api' dalam PKR sendiri.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga berkata, selaku individu yang bertanggungjawab dalam penerangan parti, beliau berhadapan dengan kritikan rakyat hampir setiap hari tentang ketegangan yang berlaku dalam PKR.

Justeru, katanya, kemelut itu wajar dihentikan, malah PKR turut dilabel sebagai parti gila kuasa berpunca daripada sikap ahlinya sendiri yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sepatutnya.

"Apabila ada masalah antara Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, bagi saya biar mereka uruskan cara mereka tetapi yang menjadi masalah adalah orang-orang sekeliling.

"Mereka inilah yang menyebabkan kedua-dua kem bermusuhan. Setahu saya semasa pemilihan semuanya baik sahaja tetapi selepas pemilihan banyak kenyataan keluar.

"Pergaduhan (antara kem) sebenarnya tiada apa pun tetapi disebabkan batu api inilah yang menyebabkan PKR nampak teruk dan huru-hara, malah dilihat seperti berlaku pergolakan," katanya pada Program Sinar Live bertajuk Dua kem PKR semakin bergolak? di Komplek Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kemelut dalaman yang berlaku sebagai ujian kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar lebih menonjol selaku pemimpin parti yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar berhak jumpa sesiapa sahaja ahli PKR

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini kerana telah wujud persepsi dalam kalangan rakyat terhadap anwar yang dilihat telah gagal mencari solusi terhadap masalah parti.

"Kena cari satu titik yang baik untuk mendengar semua keluhan semua pihak supaya semua perkara boleh diselesaikan,"katanya.

Dalam pada itu, beliau menganggap ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) adalah kerana tidak mendapat ruang yang cukup bagi bersemuka dengan Anwar menyuarakan isu-isu berbangkit termasuk rasa terkilan berhubung lantikan semula MPP yang telah kalah dalam pemilihan.

Sementara itu, menjawab spekulasi berhubung wujudnya kongres PKR berasingan di Kuala Lumpur, Ratu Naga berkata, ia adalah di luar pengetahuannya namun bimbang ianya merupakan perang saraf yang akan menekan dan menjadi batu api antara Mohamed Azmin dan Anwar.