Pulau Pinang perlu Pengerusi PKR baharu

Afif memberi tanda larangan merokok kepada salah seorang pemilik kedai.
Afif memberi tanda larangan merokok kepada salah seorang pemilik kedai.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang memerlukan Pengerusi PKR yang baharu bagi memacu kemajuan parti itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera membuat pelantikan itu untuk memastikan semua usaha dan kemajuan parti itu tidak terbantut.

Menurutnya, sehingga kini, pimpinan tertinggi belum memutuskan lantikan baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melepaskan jawatan itu.

"Pelantikan perlu dibuat segera bagi memastikan semua usaha untuk kemajuan parti tidak terbantut kerana tiada pimpinan tertinggi di Pulau Pinang. Saya difahamkan, sehingga kini, Presiden masih belum memutuskan lantikan baru.

"Sebelum ini difahamkan di kalangan Ketua Cabang ada mencadangkan (nama Pengerusi PKR Pulau Pinang) kepada Presiden. Pada saya, pada masa ini, Presiden perlu membuat keputusan segera kerana Pulau Pinang adalah negeri yang penting.

"Banyak isu melibatkan perjalanan kerajaan malah pemimpin negeri juga memerlukan pandangan daripada parti," katanya kepada media tadi.

Beliau berkata demikian selepas meninjau beberapa kedai makan sekitar bandar ini selain mengedarkan tanda larangan merokok kepada pemilik premis terlibat bersama beberapa wakil Jabatan Kesihatan Pulau Pinang di sini.

Tambahnya, Pengerusi PKR Pulau Pinang perlu dilantik di kalangan anak jati negeri ini bagi memudahkan kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap Presiden pilih di kalangan anak jati Pulau Pinang. Takkan orang luar pula nak jaga Pulau Pinang.

"Pemimpin itu juga mesti mampu memimpin kesemua cabang di negeri ini. Itu yang kita harapkan," katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang sehari selepas pelantikan itu dibuat.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden pada 17 Disember lalu.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

Pada 16 Disember lalu, PKR mengumumkan pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu, menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.