Ingkar arahan, dua ahli Parlimen diarah cuti dua hari

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) digantung selama dua hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas ingkar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Ia susulan pertengkaran yang berlaku berhubung isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng apabila Poay Tiong mahu Tajuddin dirujuk jawatankuasa Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap RSN Rayer (PH-Jelutong).

Insiden itu berlaku pada sesi soal jawab oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik apabila Tajuddin mencelah pertanyaan Rayer dengan berkata, "Tumpang tanya, itu abu Chin Peng ke?...Saya tak mahu Jelutong dituduh pakai abu Chin Peng dekat dahi,".

Hal itu menimbulkan rasa kurang senang Rayer yang kemudiannya menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan.

"Ini (kenyataan Tajuddin) adalah menghina orang-orang Hindu... saya minta Pasir Salak (Tajuddin) minta maaf," katanya.

Tajuddin kemudian berkata, "Saya tarik balik...apa masalah," katanya.

Keadaan dewan bagaimanapun kembali kecoh apabila kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam mulut.

Mohamad Ariff bertindak mengeluarkan amaran untuk menghalau sesiapa keluar dari dewan jika terus menimbulkan kekecohan.

Artikel Berkaitan:

Tidak lama kemudian Mohamad Ariff memutuskan Tajuddin dan Poay Tiong digantung selama dua hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana ingkar arahan untuk bertenang dan duduk.

"Kota Melaka (Khoo), Pasir Salak, sila tinggalkan dewan kerana tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Khoo yanh kelihatan berat hati untuk keluar berkata, "Saya ingin katakan ini bukan caranya untuk mengawal Dewan,".

Sementara Tajuddin membalas, "Terima kasih Tan Sri Speaker (Mohamad Ariff)...saya pun ada Perhimpunan Agung UMNO,".