X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar indeks jenayah di Selangor menurun

Noor Azam (tengah) bergambar bersama para hadirin pada majlis pelancaran program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2019 di Natural Health Farm di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kadar indeks jenayah yang direkodkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menunjukkan penurunan sehingga 7.19 peratus atau 1,420 kes sehingga November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kes jenayah keseluruhan yang direkodkan pada tahun ini adalah sebanyak 18,265 kes berbanding 19,685 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, penurunan indeks itu dicapai hasil daripada program-program yang diadakan bersama antara pihak polis dan juga masyarakat setempat.

"Alhamdulillah kita telah menerima banyak maklum balas daripada masyarakat terhadap program-program yang kami laksanakan.

"Jadi hubungan dua hala ini telah berjaya membantu menurunkan kadar jenayah di seluruh Selangor kepada 7.19 peratus.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan masyarakat bekerjasama dengan pihak," katanya pada sidang media semasa majlis pelancaran program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2019 di Natural Health Farm di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung program Neighbourhood Watch Polis Selangor siri dua itu, beliau berkata, konsepnya dengan mewujudkan kluster-kluster kecil.

Menurutnya, dalam setiap kluster tersebut mereka akan mengadakan perbincangan dalam tempoh tiga bulan sekali bagi membincangkan isu-isu berkaitan yang dihadapi di kluster masing-masing.

"Mana-mana kes berkaitan dengan jenayah, pihak kami akan ambil tindakan, kes berkaitan bidang kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pihak MBSA akan ambil tindakan. Manakala berkaitan dengan masalah pekerja, Jabatan Imigresen Malaysia akan ambil tindakan.

"Jadi di sini kita dapat menyelesaikan masalah secara kolektif. Jika secara individu mungkin tindakan lambat diambil sebab itulah dilakukan secara kolektif mengikut kluster-kluster dalam Neighbourhood Watch ini agar tindakan cepat boleh diambil," katanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung dengan penipuan siber yang semakin meningkat.

"Scamer ini berlaku di mana-mana bukan setakat di kawasan bandar, malah di luar bandar pun berlaku. Terdapat peningkatan terhadap jenayah komersial ini.

"Jadi, pihak kami telah mengadakan hebahan secara besar-besaran baik melalui media dan dipanjangkan kepada kumpulan WhatsApp penduduk supaya mereka jangan terlibat ataupun menjadi mangsa dengan jenayah ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus