Premis di Selangor sedia tandas bersih dapat insentif RM1,000

Sebanyak 113 premis makanan terpilih menerima insentif sebanyak RM1,000.
Sebanyak 113 premis makanan terpilih menerima insentif sebanyak RM1,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 113 premis makanan di Selangor menerima insentif sebanyak RM1,000 kerana menyediakan kemudahan tandas bersih dan selesa.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan Selangor mengambil langkah berkenaan bagi memberi kesedaran kepada peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan tandas.

"Pengiktirafan yang diberikan juga bagi memastikan semua pihak sentiasa mengutamakan dan menyelenggara tandas supaya sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.

"Seringkali kita dengar mengenai tandas awam yang kotor, rosak, tersumbat dan berbau. Jadi, menjadi kewajipan kepada kita sebagai rakyat Malaysia untuk menjaga kebersihan tandas awam demi imej baik negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Tandas Bersih di bawah Program Tandas Selangorku Tahun 2019 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Katanya, kerajaan Selangor memperuntukkan hampir RM1 juta untuk menaik taraf tandas-tandas awam di negeri itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya harap pengusaha lain dapat menjadikan premis yang diiktiraf hari ini sebagai contoh dalam membantu usaha kerajaan untuk menerapkan amalan kebersihan dan kesihatan yang baik serta budayakan amalan tandas bersih dalam masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan: