Naikkan semangat #KitalahMalaysia melalui sukan

Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi yang berlangsung pada 15 Disember ini anjuran bersama Sinar Harian dan Sin Chew Daily.
Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi yang berlangsung pada 15 Disember ini anjuran bersama Sinar Harian dan Sin Chew Daily.
A
A
A

KEPELBAGAIAN kaum yang ada di Malaysia menjadikan negara ini unik di mata dunia.

Rakyat hidup dalam harmoni dan aman meskipun berbeza agama, bangsa dan budaya.

Jika ditanya apakah aset paling berharga buat Malaysia pasti jawapannya perpaduan.

Dan jika ditanya apakah aktiviti yang boleh mengeratkan perpaduan, pasti jawapannya sukan.

Ini kerana sukan adalah wadah mengeratkan perpaduan kaum di negara ini sejak zaman-berzaman.

Sebut apa saja jenis sukan, sama ada bola sepak, badminton, bola jaring, sepak takraw malah sukan tepi pantai juga boleh menjadi ejen penggerak perpaduan.

Dalam kemakmuran negara yang pelbagai bangsa, sudah pasti sukan platform terbaik menjadi pengerat hubungan kaum di Malaysia.

Bangsa Melayu, Cina dan India boleh duduk sebaris menyatakan sokongan terhadap pasukan pilihan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Apabila menang, kita akan bertepuk tampar, berpeluk antara satu sama lain untuk menggambarkan perasaan gembira.

Begitulah uniknya sukan yang mampu menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.

Atas semangat #KITALAHMALAYSIA, Sinar Harian bersama Sin Chew Daily menganjurkan Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi.

Ketua Pegawai Operasi Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, program julung-julung kali diadakan ini bertujuan mengeratkan hubungan pelbagai kaum melalui sukan.

“Sinar Harian dan Sin Chew Daily bersatu hati menggerakkan aktiviti sukan ini bagi menaikkan semangat ‘Kitalah Malaysia’.

“Cintai negara melalui sukan, cintai perpaduan melalui sukan. Jadi, kita berharap program ini dapat menjadi pengerat hubungan antara semua kaum agar menjadi erat dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (Kandungan dan Pemasaran) Sin Chew Daily, Tan Lee Chin pula berkata, tujuan utama penganjuran sukan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan memupuk semangat pemahaman antara satu sama lain.

“Biasanya orang ingat bola keranjang hanya orang Cina yang main. Bola sepak pula hanya Melayu yang main. Dari segi statistik, mungkin ini juga realitinya, tapi ia ada pengecualian.

“Kami harap dengan penganjuran sukan ini, ia dapat memberi kunci kepada mereka yang tidak pernah atau jarang bergaul dengan masyarakat lain, agar ada peluang bercampur dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Lee Chin berkata, sukan ini juga diharap dapat membuka mata masyarakat apabila pelbagai kaum diberi peluang bergaul bersama.

Pertandingan Street Soccer 4on4 dan Basketball 3on3 akan diadakan pada 15 Disember 2019 ini bermula jam 8 pagi di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Hadiah wang tunai berjumlah RM15,200 menanti pasukan bertuah.

Johan bakal membawa pulang RM3,000, naib johan RM2,000, ketiga RM1,200, keempat RM800 dan empat pasukan berjaya ke suku akhir menerima RM150.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya e-sports, penalty shootout, basketball shootout dan persembahan pentas.

Bagi anda yang berminat untuk turut serta, daftarkan pasukan anda dengan menghubungi Mohd Firdaus Ishak di talian 019-3087158 atau 03-51017402.