MoU penulisan ensiklopedia UMNO dimeterai pada PAU 2019

Dr Shamsul Anuar (tengah) menyerahkan tag media PAU 2019 kepada wakil media sewaktu Pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Laman Media, Bilik Mawar, PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Dr Shamsul Anuar (tengah) menyerahkan tag media PAU 2019 kepada wakil media sewaktu Pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Laman Media, Bilik Mawar, PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 yang bermula esok melakar sejarah tersendiri apabila memorandum persefahaman (MoU) penulisan ensiklopedia UMNO bakal dimeterai.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, MoU tersebut dijadual berlangsung jam 2 petang dan akan disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sepanjang PAU 2019 kita ada 50 acara dan salah satunya ialah wacana ilmu 'UMNO Sebuah Perjuangan' dan Majlis Tandatangan MoU Penulisan Ensiklopedia UMNO bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Menerusi penulisan ensiklopedia ini kita akan dokumenkan dalam bentuk sejarah perjuangan UMNO daripada asalnya hingga ke hari ini dan semua perkara termasuk segala yang dilaksanakan kerajaan.

"Hampir kebanyakan polisi dasar kerajaan ideanya datang dari perhimpunan (PAU) ini. Umpamanya bagaimana Lembaga Tabung Haji diwujudkan...idea itu datang dari PAU, begitu juga dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Semua perkara ini akan kita dokumenkan supaya ia menjadi tatapan rakyat bagi memastikan segala sejarah dan data-data penting tepat, tidak boleh diputar belit oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Laman Media, Bilik Mawar, PWTC, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan tag PAU 2019 kepada agensi media manakala taklimat media disampaikan Ketua Jabatan, Jabatan Komunikasi Strategik, Datuk Dr Ibrahim Yahaya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shamsul Anuar, penulisan itu menjadi bukti segala sumbangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat dan pembangunan negara yang dinikmati kini.

"Akan dapat lihat nanti dalam tulisan berkenaan didedahkan bagaimana sumbangan UMNO parti yang terbesar di dalam negara menyumbang dan nikmatnya dinikmati rakyat bukan hanya ahli parti Melayu Bumiputera tetapi rakyat secara keseluruhannya.

"Nikmat hasil perjuangan kita (UMNO dan BN) selama ini, itu kita akan dokumenkan dalam penulisan ensiklopedia UMNO, ulasannya akan diketuai pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam dengan pakar-pakar lain yang telah ditentukan.

"Saya percaya rakyat di luar sana juga mahu melihat bagaimana UMNO memperjuangkan nasib mereka ketika negara hadapi pelbagai isu. Saya juga yakin rakyat melihat parti ini adalah stabil dari segi kepimpinan," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 434 pengamal media pelbagai agensi bakal membuat liputan sepanjang PAU 2019 yang berlangsung tiga hari bermula esok.

Katanya lagi, lebih 5,600 perwakilan termasuk Sabah serta Sarawak akan meriahkan perhimpunan tersebut dan pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung sekitar 20,000 orang.