Warga emas sesat keluar beli ikan ditemui selamat

Dul Karim
Dul Karim
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang warga emas, Dul Karim Suhairi, 75, yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya semalam ditemui dalam keadaan selamat awal pagi tadi.

Anaknya, Zurizah Dul Karim, 45, berkata, bapanya itu ditemui seorang lelaki kira-kira jam 3 pagi tadi di Kampung Raja Musa di sini selepas dikatakan tersesat pada jarak lebih kurang 15 kilometer dari rumah mereka.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai baharu pulang dari kerja terserempak bapanya yang bersendirian dalam keadaan basah kuyup menolak motosikal yang kehabisan minyak.

"Lelaki itu menghampiri ayah dan ingin menghulur bantuan, namun setelah diamati, dia teringat wajah ayah sebelum ini tular di media sosial Facebook.

"Lelaki itu kemudiannya menghubungi adik dan keluarga terus ke tempat ayah ditemui untuk membawanya pulang ke rumah," katanya.

Zurizah memberitahu, kehilangan bapanya itu disedari ibunya selepas Dul Karim keluar dari rumah mereka di Kampung Sungai Kajang Baru jam 5.30 petang semalam.

"Ayah keluar ingin membeli ikan yang dijual penjaja tepi jalan di kampung ini. Kebetulan selepas ayah keluar, hujan lebat dan mungkin dia tersesat jauh hingga tak dapat cari jalan pulang.

"Ayah memang biasa keluar beli ikan tapi tidak pernah pula dia tersesat sehingga sejauh itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejurus mengetahui kehilangan Dul Karim, mereka sekeluarga berusaha mengesannya di beberapa tempat terutama di Pekan Tanjong Karang.

"Kami buntu memikirkan keselamatan ayah pada waktu itu hingga terpaksa meminta bantuan orang ramai mengesan ayah melalui WhatsApp dan Facebook.

"Kami bersyukur apabila ayah ditemui dan kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terhadap usaha pencarian tersebut," katanya.