Malaysia bukan sebuah tamadun

A
A
A

TERPULANG kepada anda sama ada ayat pada tajuk artikel ini merupakan satu soalan atau satu kenyataan atau satu retorik. Saya secara peribadi lebih suka ayat pada tajuk ini merupakan satu soalan, satu tanda tanya.

Kerana ia adalah soalan bagi saya, maka saya akan sambung dengan soalan kedua. Untuk menjawab sama ada Malaysia adalah sebuah tamadun atau tidak, kita perlu tanya terlebih dahulu apakah makna ‘tamadun’.

Tamadun berasal daripada perkataan ‘Madinah’ kerana kedua-dua mempunyai persamaan tiga huruf iaitu m-d-n. Tamadun terbit daripada perkataan ‘madinah’. Apa yang terbayang di minda anda dengan perkataan ‘madinah’?

Sudah tentu anda terfikir madinah sebagai satu kota yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Nama asalnya ialah Yathrib. Tetapi bila Nabi berhijrah ke Yathrib, baginda telah mengubah namanya menjadi Madinah.

Bila kita hendak memahami makna tamadun, kita perlu memahami visi Nabi terhadap konsep ‘madinah’. Membina tamadun maknanya merealisasikan atau membina sebuah ‘madinah’.

Bila Nabi ubah nama Yathrib kepada Madinah, apa visi baginda? Visi itulah merupakan definisi roh sebuah tamadun. Kita sudah sedia maklum bahawa Nabi inginkan pemerintahan berdasarkan syariat ALLAH SWT. Tetapi sebuah tamadun bukan sekadar membina perundangan dan legalisme.

Ketika Nabi dalam penghijrahan dalam keadaan sebatang kara ke Yathrib, Baginda terserempak dengan Suraqa Malik. Suraqa ingin membunuh baginda tetapi tidak berjaya. Maka Nabi SAW pun memberitahu Suraqa satu perkara yang amat mengejutkan, satu janji yang secara zahirnya tidak logik.

Bangsa Arab tidak pernah menakluk mana-mana kawasan di luar Jazirah Arab selama ini. Bahkan mereka hanya menjadi protege dan kadangkala badut kepada kuasa-kuasa besar yang mengelilingi Jazirah Arab iaitu Empayar Rom dan Empayar Parsi. Jazirah Arab adalah masyarakat yang primitif dan miskin jika dibandingkan dengan Rom dan Parsi.

Artikel Berkaitan:

Janji

Apa janji Nabi kepada Suraqa? Nabi berjanji pada satu hari kelak, Suraqa akan memakai gelang Raja Parsi. Bagi minda Arab, itu hanya angan-angan besar yang mustahil dicapai kerana itu bermakna menakluk empayar Parsi!

Nabi dalam pelarian, bagaimana mungkin Muslimin yang serba dhaif itu yang dihalau dari kampung mereka sendiri menakluk empayar Parsi? Mereka tak mampu pun takluk kampung mereka sendiri, apatah lagi menakluk empayar super power!

Nabi SAW memandang jauh ke masa depan. Baginda tekad membina sebuah tamadun yang bermula dengan tapak ‘madinah’. Bila Nabi mengubah Yathrib ke Madinah, janji Nabi SAW kepada Suraqa bermakna Nabi ingin menjadikan Madinah sebuah markas mendidik mindset super power, platform membina keyakinan global dan benih tamadun yang akan menjadi Rahmatan Lil-Alamin!

Visi Nabi bukan terhad kepada politik lokal seperti kita yang berpuas hati sekadar menang pilihan raya umum (PRU). Visi Nabi mendirikan Madinah ialah untuk menakluk dunia dan memberi inspirasi rahmah kepada semua. Menakluk di sini bukan bermakna kolonialisme. Ia bermakna menghapuskan kezaliman global dengan menjadi super power.

Maka tamadun adalah merujuk kepada pembinaan super power global yang memakmurkan dunia dengan rahmah. Tamadun adalah berbeza dengan Hadarah. Hadarah bermakna kota, bandar di mana banyak infrastruktur terkini hadir.

Sebuah hadarah tidak semestinya merupakan tamadun. Contohnya, Singapura dan Korea Selatan. Kedua-duanya hanya merupakan hadarah tetapi bukan tamadun kerana kedua-keduanya memiliki infrastruktur termoden. Malangnya, kedua-duanya itu bukan merupakan super power.

Kedua-dua itu hanya merupakan protege kepada barat dari segi teknologi, falsafah dan budaya. Korea Selatan dan Singapura hanya merupakan konsumer kepada produk-produk teknologi dan budaya barat.

Tamadun yang dihasratkan oleh Nabi bukan sekadar hadarah. Ia adalah produser budaya dan falsafah yang akan mengubah landskap dunia. Ia super power yang mampu bersaing dengan pesaing global sehingga mengambil gelang Raja Parsi.

Maka soalannya bukanlah sama ada Malaysia adalah tamadun atau tidak tetapi sepatutnya soalannya ialah begini: Sejauh manakah umat Malaysia mampu bersaing dengan kuasa besar dunia sehingga satu hari nanti akan mengambil cincin Presiden White House?

Itu barulah Rahmatan Lil-Alamin.

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)