PPZ-MAIWP terima RM6.6 juta

Zulkifli (barisan belakang, enam dari kanan) dan Ahmad Shukri (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama 21 wakil syarikat pada majlis penyerahan zakat korporat di Putrajaya. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Zulkifli (barisan belakang, enam dari kanan) dan Ahmad Shukri (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama 21 wakil syarikat pada majlis penyerahan zakat korporat di Putrajaya. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM6.6 juta daripada 21 syarikat korporat pada Majlis Zakat Korporat 2019 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, ia adalah program kali kedua yang diadakan pada tahun ini sebagai galakan kepada lebih banyak syarikat menunaikan zakat perniagaan di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM147 juta daripada 3,000 syarikat pada tahun ini.

“Sebanyak RM88 juta jumlah kutipan terkumpul bagi tempoh Januari hingga November lalu menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun menunjukkan penurunan, namun PPZ-MAIWP meletakkan keyakinan sasaran kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM710 juta melibatkan sebanyak 190,000 pembayar zakat tahun ini mampu dicapai sebelum hujung tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis penyerahan zakat itu disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Hadir sama, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.

Syarikat korporat yang menunaikan kewajipan berzakat semalam antaranya ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Berhad, Asri Ahmad Akademy Sdn Bhd, Etiqa Family Takaful Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Menara Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shukri berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion menjelang 2023 dan pelbagai perancangan dirangka ke arah mencapai sasaran berkenaan.

“Antaranya pengenalan Skim Kafalah Muzakki (manfaat waris pembayar zakat) dan Skim Wakalah (pengembalian wang zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak).

“Pada masa hadapan, PPZ-MAIWP akan memberi sijil khas berbentuk perakuan kepada syarikat yang telah membayar zakat sebagai galakan lebih banyak syarikat membayar zakat,” katanya.