Najib bela diri tuduhan dana SRC di Mahkamah Tinggi esok

Najib
A
A

KUALA LUMPUR - Esok rakyat Malaysia bakal menyaksikan sejarah negara tercipta apabila buat pertama kalinya bekas perdana menteri membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Datuk Seri Najib Tun Razak, 66, akan memberi keterangan dari tempat duduk saksi sebagai saksi pembelaan pertama untuk menjawab tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut peguamnya Harvinderjit Singh, Najib akan dipanggil sebagai saksi pertama pada hari pertama prosiding pembelaan.

Esok, Najib akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Pada 11 November, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Ahli Parlimen Pekan itu membuat pilihan pertama, untuk memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang bermakna beliau akan disoal balas oleh pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Nazlan antara lain memutuskan bahawa Najib telah menggunakan kedudukannya untuk ganjaran dan menggunakan dana SRC sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai kepentingan untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Hakim juga mendapati Najib mempunyai pengaruh yang besar di samping kuasa penuh dalam SRC dan pihak pendakwaan berjaya dalam membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur pecah amanah (CBT) oleh Najib melibatkan dana syarikat itu.

Mengenai pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Mohd Nazlan memutuskan bahawa RM42 juta dalam akaun Najib adalah hasil satu perbuatan menyalahi undang-undang, sebagaimana yang dibuktikan dalam pertuduhan CBT.

"Oleh itu, terdapat kes prima facie terhadap tertuduh berkenaan dalam setiap tuduhan penggunaan kedudukan untuk suapan, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

"Oleh itu, kini saya mengarahkan tertuduh untuk membuat pembelaan berhubung semua tujuh pertuduhan,” katanya.

Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama di negara ini yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau dituduh melakukan tujuh kesalahan antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan pembelaannya bermula pada 3 Disember hingga 4 Disember, 9 Disember hingga 12 Disember dan 16 Disember sehingga 19 Disember.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V.Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Pada 22 dan 23 Oktober mahkamah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 27 Ogos selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Semasa perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Najib.

Najib pertama kali dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya yang bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika disabitkan kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama. - Bernama