Sektor industri pertahanan perlu inovasi

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor industri pertahanan di negara ini memerlukan inovasi bagi menggalakkan pembekalan aset keluaran tempatan untuk bidang pertahanan secara menyeluruh.

Ia sekaligus mampu memberi impak terhadap rancangan pelaburan pertahanan yang menjadi sebahagian daripada Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, bagi merealisasikan kerangka KPP, kerajaan memerlukan usaha daripada agensi lain justeru tumpuan tidak seharusnya hanya untuk Kementerian Pertahanan semata-mata sebaliknya merangkumi pelbagai agensi keselamatan lain.

"Kita tidak boleh kekalkan skala ekonomi yang besar untuk satu industri yang mampan jika industri pertahanan hanya fikir jual (aset) kepada Kementerian Pertahanan. Ia perlukan dual used. Bermakna untuk kegunaan ketenteraan dan kegunaan awam.

"Antara semua agensi pertahanan dan keselamatan, dia boleh guna pakai produk atau inovasi tempatan supaya ada skala ekonomi. Jadi ia antara perbaharuan yang kita fikirkan.

"Masalah sekarang ialah industri pertahanan kita kebanyakannya ejen, dia bukan inovasi, dia hanya postman. Ini yang kita harap dengan hala tuju KPP, kita boleh ada hala tuju seperti itu (inovasi)," katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPP mampu menyumbang dalam mewujudkan peluang pekerjaan bukan hanya sebagai kerjaya pilihan tetapi diharapkan mampu mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan veteran ATM sebagai hala tuju masa depan.

"Kami harap dalam tempoh KPP ini, kita boleh usahakan supaya kerjaya tentera menjadi pilihan dan lebih ramai yang bersedia berkhidmat dalam ATM.

Artikel Berkaitan:

"Pemikiran kita terhadap veteran juga berubah daripada hanya jaga kebajikan tetapi beri peluang kerjaya kedua agar mereka berkhidmat dalam tentera dan pengalaman mereka dapat disumbangkan kepada ekonomi," katanya.