Ratusan penyokong Suu Kyi berhimpun di Yangon

Kira-kira 700 orang berhimpun di Yangon bagi menzahirkan sokongan terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam.- Foto Reuters
Kira-kira 700 orang berhimpun di Yangon bagi menzahirkan sokongan terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam.- Foto Reuters
A
A
A

YANGON - Kira-kira 700 penyokong pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi berhimpun bagi menzahirkan sokongan menjelang perbicaraan tuduhan genosid terhadap negara itu di mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ahli Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi yang membawa sepanduk bertulis 'We stand with you, Mother Suu' memenuhi pekarangan Dewan Bandaraya di Yangon semalam sambil mengibarkan bendera Myanmar dan mendengar alunan muzik dan puisi.

Kes yang bakal dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague bermula 10 Disember itu difailkan oleh Gambia bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Pertuduhan adalah berkaitan kempen ganas tentera Myanmar terhadap komuniti Muslim Rohingya pada bulan Ogos 2017.

Kes mendakwa tindakan Myanmar terhadap Muslim Rohingya itu berniat menghapuskan sebahagian atau keseluruhan etnik minoriti berkenaan.

Lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh susulan kempen penghapusan yang melibatkan insiden rogol, pembunuhan dan pembakaran rumah.

Myanmar menafikan dakwaan terbabit namun menegaskan ia bersedia mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah sekiranya terdapat bukti mencukupi.

Kementerian Luar Myanmar berkata, tekanan antarabangsa terhadap negara itu disebabkan kurang pemahaman tentang kerumitan isu dan naratif rakyat Myanmar.

Suu Kyi yang juga penerima Anugerah Nobel Keamanan itu akan mengetuai delegasi ke The Hague dengan kapasitinya sebagai Menteri Luar. - Agensi

Artikel Berkaitan: