Ahli Parlimen pembangkang perlu lebih rasional: Mahfuz

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen pembangkang diharap lebih bersikap rasional ketika berada di Parlimen, terutama ketika membuat undian bagi meluluskan usul pembentangan bajet.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar membidas sikap wakil rakyat pembangkang yang seolah ‘bermain politik’ sehingga sanggup menolak usul peruntukan kepada golongan memerlukan, Rabu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apa yang dikesali adalah kerana tiada alasan kukuh penolakan bajet diberikan, sebaliknya dibayangi konflik politik bagi menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lemah sekiranya undian sokongan gagal diperoleh.

“Tiada masalah tolak usul bajet di peringkat dasar atau kementerian jika ada alasan kukuh seperti unsur penyelewengan atau salah guna kuasa dalam bajet itu.

"Saya kesal wakil rakyat UMNO yang pernah menjadi kerajaan seolah tak endah kesan daripada penolakan itu boleh menyebabkan peruntukan kepada golongan terbabit tiada pada tahun depan,” katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan PH bersedia menambah baik usul bajet yang ditolak pembangkang sekiranya diberikan alasan munasabah.

“Jika ditolak dengan alasan kukuh, kita boleh tambah baik dan kemukakan semula untuk undian. Ia harus dilakukan secara rasional kerana melibatkan kepentingan rakyat. Jangan gunakan alasan politik semata-mata mahu calarkan imej kerajaan,” katanya.

Menurutnya, Ahli Parlimen pembangkang terutama Pas harus membudayakan politik matang, bukannya sekadar mementingkan kepentingan parti politik masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis lalu, Setiausaha Agung Pas yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, tujuan pembangkang menolak usul membuktikan kelemahan kerajaan sekiranya bilangan undi tidak mencukupi untuk meluluskan belanjawan.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh memberi amaran kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk tidak bermain politik berkaitan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, mereka yang mengundi 'tidak bersetuju' mengenai belanjawan kebajikan harus memberi penjelasan kepada rakyat kerana melibatkan bantuan kepada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas setiap bulan.

Belanjawan 2020 untuk kementerian itu hampir ditolak selepas Ahli Parlimen pembangkang mendakwa mereka mengalahkan anggota Parlimen PH di dewan semasa mengundi.

Bajet itu disahkan dengan 32 Ahli Parlimen menyokong, manakala 28 menolak.