Pemilik RM10 bernota tampil di Facebook

Paparan Facebook Anne Malar Yesudass.
Paparan Facebook Anne Malar Yesudass.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Baru-baru ini tular seorang pengguna Facebook mencari pemilik wang kertas RM10 bernota dijumpai di sebuah bank di Batu Berendam.

Hari ini, gara-gara kuasa tular, individu berkenaan tampil mendedahkan bahawa dialah pemilik wang kertas tersebut.

Memuat naik status di Facebooknya, Anne Malar Yesudass memberitahu, selama ini dia mencari duit itu setelah dompetnya dicuri pada 1 September 2018 di sebuah kem di Melaka.

"Saya sudah jumpa individu yang jumpa duit saya, terima kasih sangat-sangat kepada semua yang sudi kongsi penemuan duit ini.

"Ia cukup bermakna dalam hidup saya. Bapa memberi duit ini kepada saya pada 21 Mei 2010, ketika itu saya berusia 17 tahun.

"Bapa beri duit ketika hendak pergi ke sekolah jam 7.10 pagi, namun sayangnya tarikh itu adalah kali terakhir dia beri duit dan hantar saya ke sekolah. Bapa terlibat dalam kemalangan jalan raya," katanya.

Menurutnya, duit itu disimpan sebagai kenangan kerana terlalu merindui mendiang bapanya.

"Saya berasa sedih kerana itu satu-satu duit dan barang peninggalan dari bapa untuk saya. Tidak kisah jika dompet hilang tetapi jangan ambil duit itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, kakaknya menghantar tangkap layar status Facebook Hyza Ezany menerusi aplikasi WhatsApp untuk maklumkan duit RM10 itu adalah miliknya.

"Saya sangat berterima kasih kepada Hyza Ezany di atas perkongsian itu. Terima kasih tidak cukup untuk balas jasanya tetapi apa-apa pun terima kasih banyak-banyak.

"Terima kasih kepada semua yang sudi membantu kongsi status Hyza Ezany. Terima kasih sekali lagi. Saya sayang 'appa', saya rindu dia sangat-sangat," katanya.

Semalam Sinar Harian berkongsi hantaran Hyza Ezany yang mencari pemilik wang kertas RM10 yang tertulis nota 'Wang terakhir yang ayah saya beri pada Jumaat bertarikh 21/5/2010 pada jam 7.10 pagi. Saya sayangkan ayah.'

ARTIKEL BERKAITAN: RM10 terakhir daripada ayah