Didesak tarik laporan polis, Wan Saiful digugurkan...

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu negeri baru-baru ini.

Namun begitu, beliau telah digesa untuk menarik balik laporan tersebut.

"Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu.

"Sebelum itu, saya juga telah bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis. Saya ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut, namun enggan melakukan salah guna kuasa itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengugurannya daripada jawatan Setiausaha Bersatu Perlis.

Hari ini, Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan menyatakan parti itu mengugurkan Wan Saiful daripada jawatan tersebut.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira tahap komitmen yang diberikan beliau terhadap Bersatu Perlis dan kesibukan berdepan kemelut Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti dan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang dipegang di Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini menambah iltizam saya untuk membantu Bersatu di Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia Baru perlu disambung menjadi Perlis Baru," katanya.