Sembilan maut insiden rempuhan di Sao Paulo

Paraisopolis merupakan antara kawasan miskin terbesar di Sao Paulo.
Paraisopolis merupakan antara kawasan miskin terbesar di Sao Paulo.
A
A
A

SAO PAULO - Sekurang-kurangnya sembilan orang maut sementara dua lagi cedera dalam insiden rempuhan susulan serbuan polis di sebuah kejiranan miskin di Sao Paulo, Brazil awal pagi semalam.

Jurucakap polis, Leftenan Colonel Emerson Massera memberitahu wartawan, mangsa yang maut terdiri daripada seorang wanita, tujuh lelaki dan seorang remaja berusia 14 tahun.

Menurut Massera, sebuah unit terdiri daripada 38 polis tentera menjalankan operasi di kejiranan miskin, Paraisopolis apabila dua lelaki menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah unit terbabit sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Kedua-dua lelaki terbabit selepas itu dikatakan turut membuat kekecohan dengan melepaskan tembakan semasa melalui sebuah kawasan berlangsungnya parti jalanan hujung minggu 'funk dance' yang popular di Sao Paulo dan Rio de Janeiro yang disertai 5,000 orang.

Bagaimanapun, media Brazil melaporkan, penduduk menyalahkan pihak polis kerana mengakibatkan kejadian itu.

Ibu kepada seorang remaja 17 tahun yang cedera dalam insiden berkenaan memberitahu laman web G1 bahawa polis patut dipersalahkan dalam insiden terbabit.

Menurutnya, polis menyebabkan rempuhan apabila mereka menutup sebuah jalan, melempar kanister gas lada dan menembak peluru getah.

"Seorang anggota polis menyerang anak perempuan saya dengan botol kaca. Apabila saya melihat anak saya, saya tidak mengenalinya, wajahnya cacat dan dia kehilangan banyak darah," kata ibu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, persatuan kejiranan Paraisopolis mengutuk tindakan pihak polis.

"Awal pagi ini (semalam), anak muda dikepung dan terbunuh. Kami menuntut keadilan," kata persatuan itu di laman media sosial.

Dihuni 50,000 penduduk, Paraisopolis merupakan antara kawasan miskin terbesar di Sao Paulo dengan penduduk di kawasan terbabit hidup serba kekurangan dan 'funk dances' adalah sesuatu yang penting buat golongan muda.

Bagaimanapun, jurucakap polis, Emiliano da Silva Neto berkata, parti tersebut sering dicemari jenayah dan penggunaan dadah.

Da Silva Neto berkata, kesemua mangsa maut akibat dirempuh dan tiada yang ditembak.

Pihak polis tentera dilaporkan sudah pun melancarkan siasatan berhubung insiden. - AFP