Zainal Azman sah bertukar

Zainal Azman (kiri) menerima surat terima tugas daripada Mohd Gazali dalam satu majlis selepas dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 18 Oktober tahun lalu. - Foto Bahagian Korporat, SUK Perak
A
A

IPOH - Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman sah bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Putrajaya mulai semalam.

Perkara itu disahkan sendiri Zainal Azman kepada Sinar Harian melalui WhatsApp hari ini tetapi tidak dijelaskan secara terperinci sebab pertukaran yang menimbulkan tanda tanya banyak pihak.

Surat pertukaran Zainal Azman yang menyatakan beliau ditempatkan ke Jawatan Penempatan Khas di JPA mulai 1 Disember 2019 tular sejak semalam.

Zainal Azman dilantik memegang jawatan itu pada 18 Oktober 2018 menggantikan Datuk Mohd Gazali Jalal yang bersara.

Beliau sebelum ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandangnya termasuk Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara (MKN); Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar; Pengarah Bahagian Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Pada 1 November lalu, Zainal Azman dikurniakan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selain jawatan setiausaha kerajaan negeri yang dikosongkan secara tiba-tiba jawatan Pegawai Kewangan Negeri Perak turut tidak diisi selepas Datuk Abu Bakar Said bersara.

Difahamkan juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman kini berada di London mengikuti kursus, manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), Mu'az Zawawi sedang cuti sakit.