Tersingkir pada minggu ke lapan, Roy tidak terkilan

ROY sudah menjangkakan tersingkir pada konsert minggu ini.
A
A

SETELAH lapan minggu beraksi, Roy akhirnya meninggalkan pentas Gegar Vaganza musim keenam (GV6) apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir, sekali gus menidakkan peluangnya untuk mara ke pusingan suku akhir, minggu depan.

Pada minggu yang mengetengahkan tema Reset itu, Roy menyampaikan lagu Seniman Menangis, nyanyian asal daripada Datuk Jamal Abdillah.

Biarpun mendapat sokongan ramai, Roy gagal menambat hati juri apabila berada pada kedudukan tercorot dengan markah 55%.

“Saya tak terkilan dengan penyingkiran ini biarpun sudah masuk minggu kelapan. Saya reda dengan apa yang Allah tentukan dan mungkin ini baik untuk saya.

“Sebenarnya saya sudah menjangkakan akan terkeluar pada minggu ini kerana merasakan lagu itu, bukan lagu konsert tapi lagu lounge. Malah saya sepatutnya perlu tampilkan kelainan untuk lari daripada bayang Jamal, tapi versi Jamal sudah terbaik dan saya kena buat juga.

“Selain itu, keadaan kesihatan saya juga tidak begitu baik pada minggu ini kerana mengalami sakit tekak. Suara hampir terkoyak kerana bengkak di dalam. Jadi saya banyak berjaga-jaga takut suara pecah kalau buat lebih-lebih,” jelas Roy yang juga pemenang Bintang Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Dalam pada itu, salah seorang juri tetap, Datuk Ramli MS, menyifatkan persembahan Roy yang tiada kelainan menjadi penyebab penyanyi tersebut tersingkir.

“Roy tiada pembaharuan daripada segi warna persembahan. Kami barisan juri melihat pada aspek itu dan sepakat dalam pemberian markah,” katanya yang ditemui selepas konsert minggu kelapan GV6 berakhir.

Sementara itu, Naqiu meneruskan kemaraan apabila sekali lagi menjadi peserta yang mendapat markah paling tinggi iaitu 73% menerusi persembahannya untuk lagu Percayalah, nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. Malah penyanyi itu juga diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Cili Padi Paling Power.

Peserta lain yang turut mara ke konsert minggu depan ialah Jatt, Hady Mirza, One Nation Emcee, Wann, Noorshila Amin, Sham Visa dan Nurfatimah.

Kesemua peserta diadili dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, manakala Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta Fauzi Marzuki selaku juri jemputan.

GV6 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dipancarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam dan siaran di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).