Aspek pemarkahan timbulkan persoalan

Atlet negara Lego Sam Jee Lek ketika menyanyikan lagu Negaraku selepas menyumbang pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019 di Royce Hotel, Clark hari ini. - Foto Bernama
A
A

NEW CLARK CITY - Aspek pemarkahan dalam sukan subjektif pada Sukan SEA masih menjadi persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa jurulatih negara termasuk jurulatih tarian negara, Chua Zjen Fong selepas skuad negara sekadar membawa pulang satu pingat emas pada edisi ke-30 temasya sukan berkenaan di sini hari ini.

Zjen Fong mendedahkan beberapa atlet negara berpeluang cerah meraih sekurang-kurangnya beberapa butir pingat gangsa sekiranya mereka mendapat kutipan markah yang lebih tinggi, terutamanya daripada beberapa pengadil dari Eropah yang diberi tanggungjawab memberi markah untuk sukan berkenaan pada Sukan SEA 2019.

Beliau yang merupakan bekas atlet tarian bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad tarian negara yang berjaya meraih satu emas menerusi Lego Sam Lee Jek dalam acara Break Dance Lelaki.

"Atlet kita seperti Jarell Cheong Tze Wen dan Koh Jinnee tunjukkan prestasi yang baik, terutamanya dalam acara pasangan standard walaupun mereka masih muda.

"Bagi acara Latin, atlet kita mempamerkan prestasi terbaik, cuma mungkin masalah pemarkahan yang menghalang mereka meraih kedudukan lebih baik pada kali ini, dan saya paling berbangga dengan Lego Sam kerana berjaya raih pingat emas," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya acara tarian Sukan SEA 2019 di Ballroom Royce Hotel and Casino, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Zjen Fong berharap keputusan sederhana yang diraih beberapa penari muda negara pada Sukan SEA kali ini boleh dijadikan sebagai pengalaman berguna untuk menghadapi kejohanan akan datang.

Ditanya mengenai hala tuju skuad sedia ada, beliau berkata, mereka akan menyertai kejohanan kebangsaan pada penghujung tahun ini, selain bakal meneruskan latihan di benua Eropah bagi meningkatkan lagi skil tarian masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan mereka akan terus memantau perkembangan Lego Sam bagi memastikan penari berusia 24 tahun itu terus diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa pada masa depan.

Sebagai rekod, seramai sembilan penari negara menyertai Sukan SEA 2019 di atas perbelanjaan sendiri memandangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan pasukan berkenaan dalam kategori B2.

Menerusi kategori berkenaan, persatuan terlibat harus menanggung perbelanjaan atlet masing-masing, dan MOM tidak akan membayar semula wang perbelanjaan walaupun atlet berkenaan meraih sebarang pingat kerana persatuan tersebut bukan ahli gabungan MOM.

Tuan rumah, Filipina muncul juara keseluruhan acara tarian Sukan SEA 2019 setelah meraih sembilan emas dan tiga perak.

Untuk rekod, sukan tarian kembali dipertandingkan buat kali ketiga pada Sukan SEA kali ini setelah kali terakhir diadakan pada edisi 2005 di Manila, sebelum berjaya meraih satu gangsa menerusi gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam acara Latin Amerika (Rumba) pada edisi 2007 di Korat, Thailand. - Bernama