Kembalinya nepotisme, kronisme

A
A
A

Lebih dua dekad lalu, rantau Asia Tenggara diserang keterujaan menentang nepotisme dan kronisme terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Anak-anak muda di Indonesia dan Malaysia bangkit menentang pentadbiran yang dituduh melakukan kronisme, nepotisme dan korupsi. Dalam krisis kewangan serantau 1997/98, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu) dan Dr H Muhammad Amien Rais (Indonesia) adalah antara pelopor gerakan kempen reformasi di Asia Tenggara sehingga terjadi demontrasi besar-besaran di kedua-dua negara.

Ketika Amien Rais membangkitkan rakyat Indonesia menentang pentadbiran Presiden Soeharto, Anwar hanya benar-benar menggerakkan kebangkitan massa apabila dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan parti pemerintah UMNO.

Pada 1998 pentadbiran pimpinan Presiden Soeharto tumbang setelah berhadapan kempen dan demontrasi anti KKN – Korupsi, kolusi (kroni) dan nepotisme.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad turut terjejas berhadapan tema sama dalam gerakan Reformasi Anwar.Gerakan reformasi Malaysia ketika itu percaya mereka berupaya melakukan apa yang dilakukan oleh rakyat Indonesia ketika menjatuhkan Soeharto. Bukan sahaja mereka yang yakin, malah dunia juga percaya kerajaan Barisan Nasional akan jatuh dalam demontrasi besar-besaran.

Begitu besar keyakinan tersebut sehinggakan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore pada waktu itu menggunakan Forum Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi memuji gerakan reformasi di Asia Tenggara.

Al Gore dalam ucapan APEC Kuala Lumpur 1998 menyatakan: ''Democracies have done better in coping with economic crisis than nations where freedom is suppressed. And so, among nations suffering economic crisis, we continue to hear calls for democracy and reform in many languages-people's power, doi moi, reformasi. We hear them today-right here, right now-among the brave people of Malaysia.''Ucapan itu dilakukan di Kuala Lumpur di hadapan Dr Mahathir ketika Kuala Lumpur sedang berhadapan demonstrasi besar-besaran di jalan raya.

Apa yang tidak disedari oleh Al Gore, ucapan tersebut bukan sahaja tidak membantu sahabatnya, Anwar, malah menghakis kepercayaan sebahagian rakyat kepada gerakan reformasi di negara ini.

Reformasi secara revolusi di Malaysia juga tidak menjadi kenyataan realiti kerana sistem politik dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kerajaan lebih tinggi. Ucapan sokongan AS menambah syak wasangka rakyat kepada Anwar.

Artikel Berkaitan:

Rejim

Namun tiada siapa sangka 20 tahun selepas gerakan reformasi dan pembaharuan, mereka yang menjadi protagonis dan antagonis pada 1998 sekali lagi bergabung membentuk rejim nepotisme dan kronisme yang baharu.

Antagonis Reformasi 1998, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada tahun lalu, dengan turut meletakkan anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Anak-anak beliau yang lain iaitu Mirzan dan Mokhzani mula menunjukkan langkah baharu dalam pengambilalihan syarikat dan kontrak berkaitan kerajaan.

Beliau juga membawa masuk sahabat lama, Tun Daim Zainuddin sebagai penasihat kerajaan yang kini dilihat mencatur projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT dan pengambilalihan syarikat cash cow seperti Lebuh Raya Utara-Selatan.Protagonis Reformasi 1998, Anwar turut terbaris dalam comeback kronisme dan nepotisme negara.

Anwar telah meletakkan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anaknya, Nurul Izzah turut menjadi Ahli Parlimen di Permatang Pauh. Tidak cukup itu, Anwar menggunakan pengaruhnya untuk mengadakan pilihan raya kecil Port Dickson bagi membolehkannya kembali ke Parlimen.

DAP satu lagi watak protagonis dalam reformasi 1998 masih dikuasai oleh anak-beranak Lim. Lim Kit Siang berada dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan yang menentukan polisi negara, manakala anaknya, Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

Di kedua-dua kem Dr Mahathir dan Anwar, kroni lama dalam perniagaan menonjolkan kembali diri mereka sebagai penyumbang dana kepada satu lagi pertarungan epik merebut kuasa tahun hadapan.

Hari ini, penentang dan tertuduh amalan korupsi, kronisme dan nepotisme suatu masa dulu telah bergabung dan mengulangi sejarah 1990-an.

Anehnya, tahun hadapan juga seperti ulang tahun 1998, APEC akan diadakan di Kuala Lumpur. Dr Mahathir menyatakan beliau akan memikirkan peralihan kuasa selepas acara tersebut walaupun ada desakan melakukannya pada Mei 2020.

Adakah AS akan sekali lagi akan menyebelahi Anwar dalam menggesa Dr Mahathir berundur dalam APEC akan datang?

Ah! Malaysia Baharu rupanya sekadar mengulang catatan sejarah lama.

* Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)