Pindaan Akta Perhimpunan Aman

A
A

PADA bulan Julai 2019, Parlimen telah meluluskan pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012). Pindaan itu telah mendapat perkenan diraja pada 7 Ogos 2019 dan pada 1 November 2019 ia telah berkuat kuasa.

Untuk makluman, APA 2012 adalah undang-undang yang memperuntukkan tentang perhimpunan aman dalam negara ini dalam mendokong hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Harus dinyatakan dari awal bahawa akta itu hanya berkait dengan perhimpunan aman tanpa senjata dan bukannya rusuhan atau protes ganas. Dalam keadaan sedemikian, undang-undang yang akan terpakai adalah di bawah Kanun Keseksaan.

APA 2012 yang digubal pada tahun 2012 menggantikan rejim undang-undang terdahulu di bawah Seksyen 27 Akta Polis. Di bawah seksyen tersebut, seseorang penganjur pehimpunan harus mendapat kebenaran atau permit daripada ketua polis daerah (OCPD) sebelum mengadakan perhimpunan.

Sekiranya kebenaran tidak diberikan, perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram dan sesiapa yang menghadirinya akan melakukan kesalahan.

Seksyen 27 itu telah dimansuhkan. Di bawah APA 2012, tiada lagi keperluan untuk mendapatkan kebenaran. Kini, penganjur perhimpunan harus memberi notifikasi kepada OCPD sebelum adanya perhimpunan.

Pindaan yang diluluskan dan kini berkuatkuasa telah mengurangkan tempoh masa untuk memberi notifikasi kepada OCPD daripada 10 hari kepada lima hari.

Kegagalan untuk memberi makluman tentang perhimpunan yang akan diadakan boleh menyebabkan penganjur didakwa dan sekiranya disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000.

Pindaan juga telah memberi kuasa kepada OCPD untuk mengkompaun penganjur yang tidak beri notifikasi sehingga RM5,000 daripada membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Pindaan itu langkah yang tepat, tetapi adalah lebih baik sekiranya akta itu dipinda supaya kegagalan untuk memberi notifikasi tidak membawa kepada kesalahan jenayah tetapi hanya kesalahan yang boleh dikompaun.

Pindaan yang dibuat juga telah mengeluarkan halangan terhadap ‘protes jalanan’ yang ditakrifkan dalam akta sebagai ‘suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perjumpaan di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu’. Pindaan itu juga wajar disambut baik oleh rakyat.

Satu aspek undang-undang yang wajar dipertimbangkan oleh pihak kerajaan adalah kemungkinan berlakunya perhimpunan spontan atau yang memerlukan tindakan segera. Ada situasi di mana terdapatnya keperluan untuk berhimpun tetapi memberi notis lima hari adalah mustahil. Dalam APA 2012, situasi seperti itu tidak diberi kelonggaran dan penganjur perhimpunan seperti ini berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Pelbagai langkah dan perkembangan positif dapat dilihat dalam isu perhimpunan aman, protes, demonstrasi dan tunjuk perasaan.

Dahulunya, perhimpunan aman dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan mengganggu keamanan, namun kini ia dilihat sebagai suatu perkara yang biasa.

Undang-undang perhimpunan aman juga telah ditambah baik saban tahun dan diharapkan penambahbaikan yang berterusan akan dibuat untuk memastikan bahawa hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata dapat diamalkan dengan meluas serta tanpa gangguan.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur