Pengajaran daripada malam yang cemas

No Image Caption
A
A
A

DI ATAS kertas, kalau mengikut kiraan logik, tak mungkin kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam mana-mana sesi pengundian di Parlimen kecuali melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan undi majoriti dua pertiga.

Dengan 139 orang ahli Parlimen kerajaan yang terdiri daripada 50 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (42), Bersatu (26), Amanah (11), Warisan (9) dan seorang ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (dulu UPKO), angka tersebut sudah cukup besar.

Malah hakikatnya, PH hanya memerlukan sembilan lagi kerusi Parlimen jika ingin memiliki majoriti dua pertiga atau 148 kerusi di Parlimen.

Namun ternyata apa yang ada di atas kertas tidak sama dengan apa yang terzahir di dalam Dewan Rakyat pada malam 26 November lalu.

Melewati jam 9.30 malam, ada agenda penting yang perlu diselesaikan di Parlimen sebelum sidang malam 26 November itu melabuh tirai iaitu meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bernilai RM2.47 bilion.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang turut berada di dalam dewan pada waktu itu menggambarkan malam tersebut sebagai satu malam yang cemas.

“Dengan tidak semena-mena seperti dirancang ahi-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) datang mencurah-curah masuk ke dalam Dewan Rakyat sebelum Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon memanggil untuk pengundian.

“Saya yang berada di dalam Dewan mula cemas. Yang Berhormat Tebrau yang duduk di sebelah kiri saya juga cemas. Begitu juga Yang Berhormat Putatan di sebelah kanan saya kelihatan cemas.

Artikel Berkaitan:

“Kami berpandangan sesama sendiri. Saya lihat Yang Berhormat Bukit Bendera dan Yang Berhormat Jelutong yang duduk sebaris dengan kami mulai gelisah.

“Pada saat yang genting itu, Speaker Tan Sri Mohd Arif masuk. Beliau segera menggantikan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon (Yang Berhormat Batu Pahat) untuk membolehkan Ahli Parlimen Batu Pahat itu turut mengundi.

“Saya kasihan tengok Datuk Rashid dengan berjubah dan bersongkok dia segera mengambil tempatnya sebagai ahli Parlimen untuk selamatkan kerajaan PH daripada tewas pengundian pada malam yang mencemaskan itu,” kata Hassan dalam satu coretannya yang menggambar betapa gentingnya pengundian malam itu.

Mujur kerajaan PH tidak dimalukan pada malam tersebut.

Bunyi nyaring loceng dan tindakan beberapa ahli Parlimen membuat panggilan telefon ‘kecemasan’ menjemput seramai mungkin ahli Parlimen kerajaan masuk ke dalam dewan pada saat-saat akhir, berjaya menyelamatkan kerajaan PH dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Selepas undian belah bagi, kerajaan menang dengan 45 ahli mengundi menyokong manakala 28 ahli menolak rang undang-undang perbekalan itu.

‘Ribut’ yang melanda Dewan Rakyat pada malam itu menjadi bualan hangat sepanjang minggu lalu.

Malah ada dakwaan menuduh 28 ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak berperikemanusiaan apabila tergamak mengundi menolak usul RM2.47 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang rata-ratanya penerimanya ialah orang kurang upaya, ibu tunggal, orang miskin dan sebagainya.

Namun seperti kata orang tua, tatkala satu jari kita menuding ke arah orang lain, kita terlupa ada empat jari lain sedang menghala ke arah diri kira sendiri.

Dan itulah yang berlaku kepada sebahagian ahli Parlimen kerajaan yang menuding kesalahan kepada blok pembangkang sambil melupakan silap sendiri.

Bagaimana mungkin blok kerajaan mengharap 28 ahli pembangkang menyokong mereka, sedangkan 94 lagi ahli Parlimen kerajaan sendiri culas dan mengambil sikap mudah untuk tidak berada di dalam dewan.

Jika ada segelintir ahli Parlimen kerajaan mendakwa undian menolak rang undang-undang tersebut berniat jahat, bagaimana pula dengan peristiwa malam cemas BN pada 21 November 2017.

Pada waktu itu, Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hampir gagal diluluskan apabila 52 ahli Parlimen bersetuju, manakala 51 tidak bersetuju.

Yang pasti, baik bagi ahli Parlimen kerajaan atau ahli Parlimen pembangkang, peristiwa itu seharusnya dijadikan pengajaran. Apatah lagi kehadiran ahli Parlimen sangat penting untuk memastikan blok kerajaan tidak tewas dalam mana-mana sesi pengundian.

Namun, apabila ahli Parlimen masih berdolak-dalik dengan 1,001 alasan seperti dewan terlalu sejuk atau ahli Parlimen keletihan, tidak mustahil peristiwa malam cemas itu akan berulang lagi satu hari nanti.