Kerja baik pulih BSI, KSAB siap tahun depan

Muhyiddin (kiri) pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2019.
Muhyiddin (kiri) pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2019.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerja-kerja menambah baik Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) termasuk naik taraf fasiliti dan penggantian aset serta sistem kawalan imigresen serta kastam yang dianggarkan berjumlah RM82.6 juta dijangka selesai pada tahun depan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, status pelaksanaan itu dimaklumkan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2019 yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

Menurutnya, mesyuarat itu susulan keputusan Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Ogos lalu.

Muhyiddin (kiri) bersama anggota Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2019.
Muhyiddin (kiri) bersama anggota Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2019.

Katanya, Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor itu ditubuhkan bagi merangka dan melaksana inisiatif untuk mengurangkan senario kesesakan teruk yang masih berlarutan di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI dan KSAB Johor.

"Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor merupakan mekanisme bagi menyusuli setiap inisiatif pelaksanaan dan keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas supaya dapat dilaksanakan dengan cepat, efisien dan lancar.

"Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan tersebut dibantu oleh lima Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) iaitu Naik Taraf Kompleks Pintu Masuk dan Tambak Johor (TWG1); Dasar Sumber Manusia (TWG2); Naik Taraf Automated Check Point dan Border System (TWG3); Kajian Kebolehlaksanaan (TWG4) dan Pengurusan Pelan Komunikasi (TWG5).

Artikel Berkaitan:

"Sebagai makluman, pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui berbentuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang," kata kementerian itu.

Muhyiddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas hari ini juga diberi taklimat mengenai status pelaksanaan inisiatif dibentangkan KDN yang bertindak sebagai urus setia Induk.

Beliau turut menyaksikan pembentangan kertas laporan status pelaksanaan inisiatif menangani kesesakan di bawah tanggungjawab Urus Setia Induk KDN dan laporan status pelaksanaan inisiatif menangani kesesakan di bawah tanggungjawab setiap TWG.

"Selain itu, kertas laporan turut meliputi cadangan hala tuju dan penambahbaikan sistem Vehicle Entry Permit (VEP) oleh Kementerian Pengangkutan dan cadangan perjawatan dan keperluan mesin pengimbas di Kompleks CIQ BSI dan KSAB bagi menangani isu kesesakan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM).

"Daripada 23 senarai inisiatif dipersetujui, sembilan inisiatif dalam jangka masa pendek dan dua inisiatif dalam jangka masa sederhana sudah dilaksanakan antaranya pelantikan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor sebagai Ketua Penyelaras BSI dan KSAB bagi menyelaras aspek 'command and control'," kata kenyataan itu.