Air naik mendadak kerana benteng Thailand

Kanak-kanak bermain air banjir di Rantau Panjang.
Kanak-kanak bermain air banjir di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Paras banjir di Pekan Rantau Panjang dan lapan kampung di daerah ini naik secara mendadak kerana limpahan air Sungai Golok dipercayai akibat benteng sempadan yang dibina di sebelah Thailand.

Kampung berkenaan ialah Kampung Parit Air; Kampung Banggol Kulim; Kampung Lubuk Stol; Kampung Kubang Rambutan; Kampung Bagus; Kampung Kubang Chenok dan Kampung Lachang.

Keadaan air yang meningkat dengan cepat itu mula disedari penduduk pada jam 4 pagi tadi.

Seorang penduduk, Nik Ruhila Nik Man, 43, berkata, hujan berterusan selama tiga hari bermula Jumaat lalu menyebabkan air sungai melimpah namun paras air kali ini lebih cepat daripada kebiasaannya dipercayai kerana benteng yang baharu dibina oleh negara sebelah sempadan Malaysia.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan penduduk di daerah ini mengambil langkah awal menyimpan barang di tempat yang lebih tinggi bagi berdepan musim tengkujuh yang berlaku setiap tahun.

“Cuma sebelum itu hujan berturut-turut selama tiga hari, air sungai mula melimpah ke kampung-kampung pada jam 4 pagi dan naik mendadak dengan cepat hanya dalam tempoh sejam.

“Dulu tidak macam ni, sejak ada benteng di Thailand menyebabkan kami yang sedang mengemas dengan paras air setakat buku lali, sedar-sedar sudah pada paras pinggang pada awal pagi tadi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota penyelamat yang turut sama mengharung air banjir bagi menyelamatkan mangsa.
Anggota penyelamat yang turut sama mengharung air banjir bagi menyelamatkan mangsa.

Seorang lagi penduduk, Nur Aidah Ismail, 47, berkata, keadaan air yang naik dengan cepat itu menyebabkan dia dan suami, Azmi Mat Yatim, 44, tidak tidur sepanjang malam dan berjaga-jaga sehinggalah mengambil keputusan untuk menghubungi bomba apabila paras air terus meningkat.

“Kami sememangnya sentiasa berwaspada dan semalam air berada pada paras lutut saya, bagaimanapun pagi ini sudah pada paras dada dan kami semua berpindah.

“Keadaan banjir ini memang berlaku setiap tahun namun kali ini air naik sangat laju mungkin akibat benteng yang dibina jiran di sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, operasi menyelamat mangsa banjir dimulakan pada jam 8 pagi tadi selepas menerima panggilan berikutan paras air Sungai Golok mencecah 10.35 meter melepasi paras bahaya.

“Sehingga petang ini empat pusat pemindahan dibuka termasuk SK (Sekolah Kebangsaan) Gual Tinggi dan Sk Sri Rantau Panjang 2.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada orang awam supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan sehingga menghalang laluan jentera bomba yang masuk ke kawasan kampung bagi menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.