PPM Wilayah Dua Johor rekod RM59 juta rampasan

Mohd Yusof memeriksa perbarisan pada Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah Dua di Dataran Kawad, PPM Wilayah Dua, Johor Bahru di sini hari ini.
Mohd Yusof memeriksa perbarisan pada Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah Dua di Dataran Kawad, PPM Wilayah Dua, Johor Bahru di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merekodkan nilai rampasan lebih RM59 juta ringgit bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.

Komander Pasukan PPM Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah rampasan tersebut meningkat berbanding tahun lepas dengan nilai rampasan sebanyak RM21.2 juta.

Menurutnya, kejayaan diperoleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merupakan usaha giat pegawai dan anggota yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan perairan negara daripada sebarang pencerobohan.

"Pendekatan kita lebih kepada risikan di mana unit risikan marin dari seluruh negara telah ditingkatkan menerusi penambahan pegawai dan anggota," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah Dua di Dataran Kawad, PPM Wilayah Dua, Johor Bahru di sini hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah Dua tersebut melibatkan Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad dan Superintendan Noorazman Jamal.

Sebelum ini, jawatan Komander PPM Wilayah Dua Johor dipangku Superintendan Noorazman Jamal selepas Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang dilantik sebagai Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas atau Teknikal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Oktober lalu, manakala Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad pula sebelum ini bertugas sebagai Superintendan Kejuruteraan PPM Bukit Aman.

Artikel Berkaitan: