Pembelian kondominium mewah: Isa Samad diarah fail penyataan pembelaan

Isa Samad
Isa Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah diarahkan memfailkan penyataan pembelaan dalam saman dikemukakan syarikat berkenaan yang menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta berhubung pembelian kondominium mewah terletak di Troika, Persiaran KLCC.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Isa berkata, kedua-dua defendan itu perlu memfailkan penyataan pembelaan masing-masing sebelum atau pada 4 Februari ini.

"23 Januari ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli hari ini.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 Nov tahun lepas, menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah terletak di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu berkata, saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Oleh itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.

Syarikat itu juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. - Bernama

Artikel Berkaitan: