Undang-undang wakaf beri tumpuan tadbir urus terbaik dana, aset

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

LANGKAWI - Rang Undang-Undang Wakaf Wilayah Persekutuan yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat Mac depan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan tadbir urus terbaik terhadap dana dan aset wakaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, menerusi rang undang-undang itu juga diharap dapat menjadi panduan kepada negeri lain dalam pelaksanaan konsep wakaf di negeri masing-masing.

Katanya berdasarkan rancangan awal rang undang-undang itu dicadang untuk dibawa pada persidangan yang sedang berlangsung ketika ini bagaimanapun beberapa perkara teknikal yang masih perlu diselesaikan menyebabkan rancangan tersebut ditangguhkan ke tahun depan.

"Antara perkara yang akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Wakaf Wilayah Persekutuan ialah mengenal pasti siapa pemegang amanah, struktur wakaf, bagaimana untuk diperbadankan, sekiranya berlaku salah guna apa yang perlu dilakukan dan beberapa perkara lagi. Undang-undang wakaf ini apabila menjadi akta boleh membantu kita dalam tadbir urus supaya tidak disalah guna.

"Kita mahu bangunkan konsep wakaf menerusi amalan terbaik yang kemudian akan dikongsi dan menjadi model kepada negeri-negeri lain yang boleh dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Antarabangsa Zakat, Cukai, Wakaf dan Pembangunan Ekonomi (Zawed) 2019 di sini hari ini.

Seminar anjuran Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menghimpunkan 130 peserta dari dalam dan luar negara bertujuan melihat semula konsep dan aplikasi pengurusan zakat, wakaf, baitulmal dan hibah dalam pembangunan ekonomi serta perniagaan Islam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM Prof Dr Ayoib Che Ahmad.

Mengulas mengenai Zawed 2019, Fuziah berharap kertas kerja yang dibentangkan diharap dapat membantu kerajaan membangunkan konsep zakat dan wakaf menerusi tadbir urus yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan dan amalan terbaik daripada pakar dan penyelidik dalam bidang sosioekonomi Islam ini amat kita sokong kerana kerajaan ketika ini sedang membangunkan konsep zakat dan wakaf yang boleh menjadi sektor ekonomi ketiga,” katanya. -Bernama