MCCF harap tiada spekulasi peletakan jawatan Agong

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) hari ini menasihati masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung keputusan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, ini kerana keputusan baginda adalah selari dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan baginda meletakkan jawatan dalam tempoh berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, MCCF melahirkan rasa sedih atas keputusan itu dan mendoakan agar Sultan Muhammad V terus menabur bakti kepada seluruh rakyat Kelantan.

"Rakyat melihat bahawa sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berusaha untuk memenuhi tangggungjawab dan amanah selaku ketua negara, berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan penyatuan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama di negara Malaysia tercinta ini.

"Kami seluruh rakyat akan tetap berpegang dan mengambil berat amanat yang baginda tinggalkan untuk seluruh rakyat agar terus mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya negara terus berada dalam keadaan aman dan harmoni di bawah teras Melayu Islam Beraja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MCCF juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada baginda atas khidmat selama hampir dua tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: