Nilai jualan Pasar Tani Pahang cecah RM50 juta setahun

Fakhrul Anuar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada peserta.
Fakhrul Anuar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada peserta.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang akan berusaha memenuhi keperluan pengguna pada musim tengkujuh.

Pengarah FAMA Negeri Pahang, Noh Wan berkata, pihaknya akan memastikan 38 pasar tani di seluruh Pahang dibekalkan dengan barangan yang diperlukan pengguna.

"Jika ada aduan, FAMA perlu tingkatkan usaha memenuhi keperluan itu walaupun pada musim tengkujuh," katanya ketika ditemui media sempena perasmian program Khatan Perdana di Pasar Tani UTC di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Komunikasi Korporat FAMA Pahang, Mejar Rosli Zakaria dan wakil Pejabat Parlimen Kuantan yang juga Pegawai Tugas Tugas Khas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fakhrul Anuar Zulkawi

Beliau berkata, komitmen FAMA terbukti apabila nilai jualan pasar tani di seluruh negeri Pahang tahun ini mencecah RM50 juta menunjukkan peningkatan sebanyak RM6.8 juta berbanding RM43.2 juta tahun lalu.

Noh berkata, FAMA turut menganjurkan program Jom Kongsi Rezeki iaitu sumbangan makanan mentah kepada asnaf, fakir, B40 melalui Yayasan Ihsan Prihatin yang mengutamakan penduduk setempat sekitar tapak pasar tani terpilih.

"Bahan makanan mentah Jom Kongsi Rezeki ini ialah sumbangan usahawan dan pengunjung Pasar Tani yang menjadi satu aktiviti di bawah program My Food For Ummah (MF4U) dan Food Bank Malaysia.

"Ini kali kedua di Pahang dan InsyaALLAH akan diperluaskan seluruh negeri dengan menyasarkan 14 lokasi pasar tani terpilih iaitu Beserah, Taman Impian, Balok, Bandar Pekan, River Front Pekan, Chini, Bandae Rompin, Muadzam Shah, Cameron Highland, Temerloh, Bandar Maran dan Jengka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap lokasi akan melibatkan minimum 30 penerima membabitkan sumbangan kira-kira RM21,000 sebulan.

Sementara itu Fakhrul Anuar berkata, seramai 80 kanak-kanak yang bakal dikhatankan pada 8 Disember ini diraikan dengan semburan air bomba pada program itu.

Menurutnya, peserta terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan B40 dan sebahagian besar kos khatan dibiayai Pejabat Ahli Parlimen Kuantan.

Menurutnya, peserta dirai dengan acara memotong pulut kuning dan menyuap pulut diiringi paluan kompang.

Selain Khatan Perdana, Pejabat Parlimen Kuantan juga aktif mengadakan program sumbangan Jom Sekolah kepada asnaf Parlimen Kuantan sempena pembukaan sesi persekolahan setiap tahun.