Tiada isu sembunyi beli kereta

Gambar beserta dakwaan negatif terhadap kerajaan negeri yang disebarkan di Facebook.
Gambar beserta dakwaan negatif terhadap kerajaan negeri yang disebarkan di Facebook.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri nafi menyembunyikan pembelian 15 kereta rasmi baharu jenis Honda Accord untuk kegunaan barisan Exconya.

Turut menerima kereta itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Speaker Dun, pegawai kewangan negeri, penasihat undang-undang negeri dan mufti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, pembelian kereta berkenaan yang melibatkan kos lebih RM2 juta itu telah pun diluluskan oleh kerajaan terdahulu iaitu sebelum PRU14.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri sebelum ini yang luluskan pembeliannya kerana telah mencapai tempoh untuk ditukar dan kita (PH) yang ambil alih kerajaan telah terimanya pada September lalu.

"Perkara ini tidak sepatutnya jadi isu.Tapi jika ada yang pertikai dengan mendakwa ada penyelewengan, mereka boleh buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, hari ini

Beliau diminta mengulas kritikan netizen terhadap kerajaan negeri kerana membeli kenderaan rasmi baharu selain mendakwa ia disembunyikan dengan membeli kereta daripada model dan warna sama.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, ia adalah prosedur biasa dan kereta rasmi yang sudah melebihi tempoh lima tahun layak untuk dilupuskan atau ditukar baharu.

Katanya, pihaknya juga membuka peluang kepada Exco lama untuk membeli kereta itu jika mereka berminat.

Artikel Berkaitan:

"Jika tak berminat, kita akan tengok keperluan jika ada pegawai kanan yang nak gunakan," katanya.