Kedutaan Jerman kecam graduan UMS tabik 'hail Hitler'

Kedutaan Jerman mengecam tindakan yang telah dilakukan oleh graduan terbabit.
Kedutaan Jerman mengecam tindakan yang telah dilakukan oleh graduan terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan Jerman menggesa kerajaan Malaysia dan pihak pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang penuntutnya yang menunjukkan simbol Nazi sewaktu majlis konvokesyen.

Dalam kenyataan di laman rasmi Facebook kedutaan itu semalam, pihak tersebut mengecam kelakuan itu dan mengingatkan pelajar terbabit bahawa ramai yang terbunuh dan terseksa disebabkan kekejaman Adolf Hitler ketika Perang Dunia II.

Tindakan pelajar terbabit secara jelasnya juga tidak menghormati mangsa kekejaman yang dilakukan oleh rejim Hitler.

Terdahulu, graduan UMS yang dikenali sebagai Ibn Ruru telah menunjukkan simbol Nazi dan dengan bangganya memuat naik gambar tersebut di laman Facebooknya.

Berdasarkan kapsyen yang ditulis, graduan tersebut berbuat demikian sebagai tanda bersolidariti untuk umat Islam di Gaza dan berterima kasih kepada Hitler kerana melaksanakan 'Holocaust'.

Perkongsian graduan berkenaan ternyata menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen apabila lelaki itu dikecam hebat oleh netizen dan ada yang berpendapat tindakan dilakukan itu kurang bijak.

Pelayar alam maya juga turut menganggap graduan berkenaan kurang membuat kajian berkenaan siapa sebenarnya Adolf Hitler dan ideologi dibawakan diktator tersebut di samping telah mencemarkan majlis konvokesyen.

“Dia tak sedar ke kalau bangsa Melayu ada dekat Jerman masa tu, dengan kita-kita sekali kena sembelih. Apalah bodoh sangat. Kalau mata tak biru rambut tak 'blonde' jangan harap,” tulis Pirata D Malayo di Twitter.

Yamin Lawut pula berkata, “Holocaust sendiri antara pendorong terbentuknya Israel. Bila orang Yahudi asimilasi di Eropah pun tidak dapat menyelamatkan diri daripada ditindas, mereka dah fikir lebih baik ada negara didirikan bangsa sendiri tempat lain.”

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, melalui carian Sinar Harian di Facebook, perkongsian oleh individu terbabit telah dipadamkan oleh pihak Facebook kerana dikatakan telah melanggar Standard Komuniti laman tersebut.

Bagaimanapun, graduan tersebut masih menganggap perkara berkenaan sekadar berjenaka dan mengatakan bahawa hantaran tersebut gurauan semata-mata.