Sabah terokai pengkomersialan ketam laut dalam

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong (kiri) diberikan penerangan mengenai penternakan ketam oleh Pengarah Urusan Bahvest Resources Berhad Datuk Lo Fui Ming ketika melawat ladang penternakan dan penetasan ketam di Sungai Kayu hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong (kiri) diberikan penerangan mengenai penternakan ketam oleh Pengarah Urusan Bahvest Resources Berhad Datuk Lo Fui Ming ketika melawat ladang penternakan dan penetasan ketam di Sungai Kayu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Sabah bakal membuat penerokaan secara serius dalam pengkomersialan ketam laut dalam selepas pusat penetasan ketam pertamanya mula mengeluarkan hasil yang agak memberangsangkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah, Datuk Junz Wong berkata, pusat itu yang telah dilancarkan pada Mei lepas di Sungai Kayu, dikendalikan oleh Bahvest Resources Bhd telah menghasilkan lebih daripada setengah juta anak ketam yang merangkumi tiga spesies utama iaitu ketam lumpur gergasi, ketam bunga dan ketam batu.

"Terima kasih kepada Pengarah Urusan Bahvest Resources Datuk Lo Fui Ming di atas usahanya, kita sekarang ini, boleh menikmati ketam tempatan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan dalam empat atau lima bulan lagi," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat itu hari ini.

Wong ketika bercakap mengenai pengkomersialan ketam Sabah, memberitahu tumpuan sekarang ini adalah bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, termasuk di Semenanjung Malaysia.

Secara beransur-ansur, beliau menambah, ketam Sabah akan dieksport ke negara lain seperti Singapura dan China.

"Dengan kejayaan ini, lebih banyak petani akan berpeluang untuk menceburi bidang penternakan ketam.

"Kerajaan negeri juga berharap untuk membantu penduduk kampung, graduan yang menganggur dan belia dalam penternakan ketam supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan serta menyumbang ke arah penghasilan bekalan ketam yang mencukupi bagi pasaran tempatan dan luar negara," katanya.

Menurut Wong, kerajaan negeri melalui Bahvest Resources sekarang ini sedang mengusahakan penternakan ketam lumpur di sebuah kawasan bakau seluas lima ekar berhampiran pusat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fui Ming berkata, anak ketam yang berusia antara 20 hingga 25 hari itu akan dipindahkan ke ladang ketam Bahvest Resources yang terletak di kawasan persisiran pantai Silam, Lahad Datu untuk proses pembesaran, yang akan mengambil masa kira-kira empat atau lima bulan. - Bernama