X

Kindly register in order to view this article
!

Pelancongan pendidikan makin popular di Malaysia: Maszlee

Dr Maszlee - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancongan berasaskan pendidikan (Edu-tourism) yang diperkenalkan pada 2014, kini semakin menarik minat ramai untuk bertumpu di Malaysia, negara yang dilihat bakal menjadi hub buat pelajar-pelajar dari seluruh dunia melanjutkan pelajaran mereka di peringkat tinggi.

Malaysia yang menjanjikan pendidikan berkualiti tinggi dan berpatutan, merupakan destinasi pengajian yang menarik kerana negara ini mempunyai kos hidup yang rendah, tetapi kaya dari segi budaya dan tradisi.

Selain itu, para pelajar boleh mendapat persijilan pendidikan tinggi seperti diploma, ijazah, sarjana atau kelayakan kedoktoran dari universiti tempatan berprestij di Malaysia, dengan kos yang berpatutan.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia ketika ini terus menghantar isyarat jelas bagi menarik kehadiran lebih ramai pelajar antarabangsa berkunjung ke sini.

Langkah itu membuktikan bahawa prinsip negara berhubung mobiliti pendidikan tinggi berada di landasan yang betul, dan Malaysia menjadi destinasi pilihan untuk ramai pelajar asing.

“Mobiliti pendidikan tinggi akan terus menjadi agenda utama Malaysia,” katanya di penghujung lawatan kerja beliau ke Paris, Perancis, dan Doha,Qatar dari 12 November sehingga 21 November lepas.

Menteri itu mewakili Malaysia pada Sesi ke-40 Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ibu negara Perancis dan Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Pendidikan di Doha.

Beliau turut menekankan bahawa Pelan Induk Pendidikan Tinggi Malaysia (10-20 tahun) untuk Pendidikan Tinggi (2015-2025) meletakkan matlamat dengan cita-cita yang tinggi, iaitu menetapkan sasaran jumlah pengambilan pelajar yang besar dan menaikkan ranking institusi Malaysia di peringkat serantau mahupun global.

Sehingga Disember 2018, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) melaporkan terdapat kira-kira 170,000 pelajar asing di Malaysia daripada lebih 135 negara.

Ia meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlahnya kepada kira-kira 250,000 menjelang 2025.

"Malaysia kekal sebagai pasaran sumber penting bagi destinasi pengajian yang menawarkan institusi pengajian yang telah dikenali ramai dan juga yang sedang meningkat naik. Kita tahu ramai pelajar antarabangsa memilih untuk belajar di Malaysia kerana ia menawarkan mereka nilai sebenar untuk wang.

"Bagi menarik kehadiran lebih ramai pelajar antarabangsa, kabinet Malaysia bersetuju untuk membuat pindaan beberapa peraturan dan undang-undang tertentu bagi menggalakkan pergerakan dan mobiliti lebih hebat kalangan pelajar antarabangsa, profesor, dan penyelidik, untuk membuat lebih banyak penyelidikan serta menyambung pengajian di peringkat tinggi di sini.

“Kita telah melakar banyak kisah-kisah kejayaan, kerana kita sedang mengikut hala tuju yang tepat ke arah pembangunan. Ini adalah inisiatif negara untuk melahirkan pelajar yang kompeten, dan graduan yang boleh menyumbang kepada pasaran kerja global,” katanya.

Rabu lepas Maszlee berkata, ranking Universiti Malaya (UM) naik kepada tangga ke-13 dalam Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings (QS-AUR) 2020, berbanding tempat ke ke-24 tahun lepas.

“Kita mahu wujudkan universiti awam yang kompetitif secara global, dan melahirkan intelektual serta usahawan yang boleh menyelesaikan masalah-masalah sosial di samping menjadi pemangkin kepada perubahan sosial,” katanya.

Sementara itu Maszlee berkata, Malaysia sedang menjadi negara pilihan bagi pelabur asing dalam sektor pendidikan tinggi dan kerajaan sentiasa membuka pintu kepada universiti-universiti asing untuk membuka kampus cawangan mereka di sini.

“Ketika ini terdapat 11 kampus cawangan pusat pengajian tinggi dari United Kingdom, Australia, India, Belanda dan China,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa pelajar asing berpotensi yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran mereka, untuk datang dan menyambung pengajian di Malaysia.

Katanya, Malaysia menawarkan sistem pendidikan swasta dan awam yang berimbang yang telah berjaya melahirkan graduan yang cemerlang dalam kerjaya mereka. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!