Anwar dakwa kenyataan dipermainkan

Anwar (dua dari kanan) ketika sidang media hari ini.
Anwar (dua dari kanan) ketika sidang media hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada pihak cuba mempermainkan isu kononnya 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendesaknya memohon maaf susulan pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi menunjukkan seolah-olah pemecatan tersebut tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli MPP.

Anwar menjelaskan, jumlah tersebut tidak sampai pun 20 orang, sekali gus menyifatkan kenyataan bersama dibuat pihak terlibat melalui satu memo sebagai 'tidak semuanya benar', apatah lagi beberapa pemimpin dalam senarai 20 orang itu turut menafikan kenyataan itu secara peribadi kepadanya.

“Kenyataan yang dibuat kononnya oleh 20 orang MPP tapi sebenarnya tidak sampai pun sebab salah seorangnya hadir mesyuarat MPP dan seorang sudah dipecat, jadi tinggal 18.

“Beberapa pimpinan MPP termasuk Tian Chua dan Sivarasa menghubungi saya dan menyatakan kenyataan yang ditandatangani oleh Timbalan Presiden tidak tepat. Maknanya kenyataan itu juga dipermainkan, tidak semuanya benar dan ini diperakui oleh mereka sendiri,” katanya ketika ditemui media di sini petang tadi.

Ditanya siapakah dalang yang ‘mempermainkan’ kenyataan berkenaan, Anwar memberitahu tidak tahu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Anwar tidak menghalang sekiranya Zakaria ingin membuat rayuan dan pihak Lembaga Disiplin PKR akan meneliti semula pemecatan itu.

“Rayuan saya tiada halangan, saya rasa ia adalah hak ahli. Ahli boleh mendesak supaya ia dirayu namun sebaiknya yang merayu Zakaria itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai Ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin sila buat keputusan betul, tegur Farhash

Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah' bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, manakala 17 nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Perada Islam Confucianisme di Pusat Konvensyen Arena Spice di sini.

Turur hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Sementara itu dalam sidang media sama, Anwar meminta Saifuddin membacakan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihantar kepada PKR mengenai salah laku melibatkan Zakaria pada 23 Oktober lalu.

"Aduan SPRM itu adalah berhubung tawaran projek membabitkan kontrak Kementerian Kerja Raya bernilai RM20,000 kepada pemimpin PKR bagi kawasan Bera pada 1 September tahun lalu yang dilakukan di Rumah Harapan Taman Merbau, Bandar Trian, Pahang.

“Kalau membaca isi kandungan surat itu, adakah kita perlu meminta maaf?" katanya.