Sungai Gadut perlu benteng penahan banjir

Stesen KTM Sungai Gadut ditenggelami air akibat banjir kilat pada 17 Oktober lalu.
Stesen KTM Sungai Gadut ditenggelami air akibat banjir kilat pada 17 Oktober lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Benteng penahan banjir perlu dibina bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di Stesen KTM serta sekitar kawasan Sungai Gadut di sini daripada berulang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, faktor lokasi stesen berkenaan yang rendah selain pertembungan Sungai Gadut dan Sungai Simin ekoran hujan yang terlalu lebat menyebabkan berlakunya perkara tersebut.

“Ia perlu ada benteng sebagai penahan dan jika air melimpah pun ia di luar sahaja. Ini yang perlu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bantu supaya tidak berlaku lagi kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pemilik kenderaan dan motosikal yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di stesen KTM Sungai Gadut di sini hari ini.

Aminuddin menyerahkan sumbangan berjumlah RM60,900 kepada semua pemilik kenderaan dan motosikal yang ditenggelami air akibat banjir kilat.

Dalam kejadian pada 17 Oktober lalu, sebanyak 88 buah kereta dan 28 buah motosikal mengalami kerosakan.

Pemilik kenderaan dan motosikal masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM600 dan RM250.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, seramai 120,886 orang penumpang komuter direkodkan di stesen KTM Sungai Gadut di sini bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat menjelang akhir tahun.

Artikel Berkaitan:

"Ini dibuktikan melalui rekod KTMB terhadap stesen ini yang juga stesen hentian yang mencatatkan jumlah penumpang kian bertambah saban tahun.

“Pada tahun 2017, seramai 100,498 orang penumpang komuter telah menggunakan stesen KTM Sungai Gadut dengan purata 275 orang penumpang sehari.

"Angka ini bertambah pada tahun 2018 iaitu seramai 124,224 orang penumpang komuter dengan purata 340 orang penumpang sehari," katanya. - Bernama