Sistem Penuaian Kerang Hidro dilancar

Amirul Firdaus bersama Abu yang menarik perhatian pengunjung di Laman Ternakan. - FOTO ZAHID IZZANI
Amirul Firdaus bersama Abu yang menarik perhatian pengunjung di Laman Ternakan. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sistem Penuaian Kerang Hidro yang direka khas, membantu mengurangkan lambakan kerang bersaiz kecil di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, sistem itu direka bersama water wheel untuk tuaian kerang secara mapan.

“Penggunaannya memastikan hanya kerang bersaiz sekurang-kurangnya 25 milimeter (mm) sahaja dituai. Ia memberi manfaat kepada nelayan kerang daripada segi pengurangan kos bahan api, masa dan tenaga.

“Tidak perlu berulang-alik ke perairan bagi memulangkan semula kerang bersaiz kurang 25mm ke kawasan tuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sistem Penuaian Kerang Hidro-Hydro Cockles Sorter dan Penyampaian Anugerah Inovasi Perikanan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini semalam.

Tze Tzin berkata, teknologi itu menggunakan tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga kinetik yang diperoleh daripada pergerakan arus air.

Katanya, Sistem Penuaian Kerang Hidro dapat melaksanakan proses serakan kerang yang berukuran kurang 25mm serentak semasa kerja-kerja tuaian dijalankan.

"Sistem ini membantu nelayan kerang mematuhi peraturan ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 yang hanya membenarkan kerang bersaiz sekurang-kurangnya 25mm didaratkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menubuhkan 'task force' dua bulan lalu untuk mengkaji pemodenan sektor perikanan.

Tze Tzin melancarkan Sistem Penuaian Kerang Hidro sempena HPPNK 2019 semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
Tze Tzin melancarkan Sistem Penuaian Kerang Hidro sempena HPPNK 2019 semalam. - FOTO ZAHID IZZANI

Menurutnya, kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk sektor perikanan selain sedang memikirkan kaedah membantu meningkatkan pendapatan nelayan.

“Menerusi task force yang ditubuhkan, kita akan bincang isu kemiskinan nelayan, bagaimana cara meningkatkan hasil pendapatan mereka, sekali gus memikirkan bagaimana boleh menjaga sumber.

“Menjadi hasrat kerajaan menggunakan pelbagai inovasi dan teknologi moden untuk meningkatkan hasil laut dan memodenkan cara tangkapan,” katanya.

Tze Tzin, berkata, memodenkan sektor perladangan, penternakan dan perikanan menjadi agenda MOA dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil dalam negara.

"Kementerian tidak mahu nelayan, petani dan peladang menggunakan cara lama berbanding penggunaan teknologi baharu yang mampu menghasilkan pengeluaran lebih tinggi.

"Kalau nak memodenkan sektor ini kena guna teknologi. Saya nampak orang muda minat dalam pertanian dan mempunyai banyak idea untuk bawa teknologi ke dalam sektor pertanian.

Katanya, penggunaan teknologi moden dalam sektor di bawah MOA bukan sekadar mesin dan jentera namun ia termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D)

“Jika dulu kita dapati bila guna jentera besar boleh merosakkan tanah dan menyebabkan pembaziran kini penggunaan teknologi lebih kecil lebih memudahkan. Sektor pertanian harus menuju ke tahap teknologi yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, seekor lembu sado bernama Abu menjadi tarikan pengunjung di Laman Ternakan HPPNK 2019.

Pemiliknya, Amirul Firdaus Sasfarizan, 17, berkata, lembu berusia tiga tahun setengah itu adalah baka Charolais dan seberat 865kg.

Menurutnya, Abu yang dipeliharanya di Setiu, Terengganu dan diberi makan dedak serta rumput itu adalah juara Pantai Timur empat tahun berturut-turut.

“Abu mesti dimandikan tiga kali sehari untuk menyejukkan badannya. Saya pernah ditawarkan individu yang mahu membeli Abu dengan harga RM26,000 tetapi saya menolaknya kerana amat menyayangi Abu,” katanya.

Amirul Firdaus berkata, dia amat meminati bidang penternakan terutamanya lembu dan turut menternak 16 ekor lembu lain selain Abu.