Amanah buat sesi pemilihan kepimpinan

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 dijangka lebih menarik dengan berlangsungnya sesi pemilihan kepimpinan baharu parti berkenaan buat kali pertama.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sesi pemilihan kepimpinan baharu itu akan dilaksanakan oleh 25 ahli jawatankuasa dalam parti berkenaan.

"Kepimpinan baharu Amanah nanti diharap akan terus membawa agenda Rahmatan Lil Alamin dan lebih penting menyumbang kepada dasar yang lebih besar iaitu Kemakmuran Bersama.

"Selain itu, sebagai parti pemerintah untuk meneruskan cita-cita bagi membentuk Malaysia baharu ini supaya semua kaum, bangsa dan agama hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya bagi mengulas konvensyen berkenaan yang dijadualkan berlangsung di di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, 6 hingga 8 Disember ini.

Tambah Mujahid, pihak kepimpinan parti membuka ruang yang luas bagi mana-mana perwakilan yang ingin membahaskan usul atau memberikan pandangan masing-masing sempena konvensyen berkenaan.

Menurutnya, ia juga perkara biasa dalam Amanah dan sebagaimana apabila perwakilan memberikan pandangan, pihak pimpinan parti juga akan memberikan penjelasan pada waktu yang sama.

"Semua perwakilan bebas memberi kritikan terhadap kepimpinan parti pada sesi perbahasan konvensyen kali ini.

"Parti Amanah ini telus. Jadi, mereka (perwakilan) boleh mengkritik apa sahaja selagi ada adabnya. Saya rasa mereka pun sudah tahu apakah usul yang ingin dibahaskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, antara isu yang akan disentuh ketika konvensyen tersebut adalah mengenai perpaduan dan manifesto yang telah dilaksanakan namun tidak sampai kepada rakyat.

"Dalam PH (Pakatan Harapan), kita mesti ada perpaduan dan itu isu yang perlu ditekankan dan bagaimana kita ingin jalan supaya manifesto itu sampai kepada rakyat," katanya.