Audit forensik ke atas projek LKIM bermasalah

No Image Caption
A
A
A
PUCHONG - Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil mencadangkan audit forensik dijalankan ke atas projek-projek LKIM yang bermasalah dan terbengkalai.

Muhammad Faiz berkata, audit forensik perlu dilakukan bagi meneliti kelemahan dan kepincangan dalam pelaksanaan projek-projek tersebut di samping mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Menurutnya, antara projek terbengkalai dan bermasalah adalah Kompleks Pendaratan Ikan di Tok Bali dan di Kuala Selangor dan beberapa projek LKIM yang lain.

“Sewaktu melawat di Jeti Tumpat dua hari lalu, saya amat malu dengan para nelayan apabila melihat projek Slipway yang terbengkalai di hadapan mata saya.

"Oleh itu, saya cadang untuk buat audit forensik terhadap semua projek LKIM yang terbengkalai dan bermasalah bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud terhadap projek-projek tersebut," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti LKIM 2018 di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Selangor.

Pada masa yang sama Timbalan Ketua Pemuda Amanah itu turut membangkitkan isu kerugian yang ditanggung oleh anak syarikat LKIM iaitu Majuikan Sdn. Bhd.

"Majuikan Sdn Bhd menanggung kerugian lebih RM100 juta hasil daripada kelemahan urus tadbir syarikat tersebut seleprti dalam Laporan Audit LKIM 2016.

"Isu melibatkan Majuikan Sdn. Bhd. ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak khususnya warga LKIM agar perkara yang sama tidak lagi berlaku pada masa akan datang,"katanya.

Tambah beliau isu yang melibatkan Majuikan Sdn. Bhd. ternyata telah menjejaskan reputasi dan integriti LKIM kerana isu ini hangat diperkatakan oleh ramai pihak di seluruh negara.
Artikel Berkaitan:


"Ketirisan yang berlaku ternyata telah memberikan kesan yang buruk khususnya kepada para nelayan yang merupakan pemegang taruh utama LKIM,"ujarnya.

Tambahnya, walaupun isu-isu yang melanda ini dilihat memberikan imej buruk kepada LKIM, namun beliau berazam untuk memulihkan semula imej dan keyakinan masyarakat terhadap LKIM melalui tadbir urus yang lebih baik dan cekap serta bebas ketirisan.