Sultan Nazrin pangku jawatan Yang di-Pertuan Agong

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilantik sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Memetik laporan Astro Awani, perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja di Istana Negara pagi tadi.

Sultan-sultan yang hadir mesyuarat lebih satu jam itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Pada mesyuarat tersebut, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara memaklumkan Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa serta merta.

Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan itu.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-raja.