Kutip 630kg sampah di Pantai Sepat

Sebahagian pelatih Kem Wawasan Negara Bukit Sagu bersama sampah yang dikutip mereka.
Sebahagian pelatih Kem Wawasan Negara Bukit Sagu bersama sampah yang dikutip mereka.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 630 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dan dikumpulkan sempena Program Kelestarian Persisiran Pantai 2019 di Pantai Sepat di sini hari ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan awam (SWCorp), Sharudin Hamid berkata, jumlah itu berjaya dikumpulkan dalam radius 25 kilometer sepanjang Pantai Sepat selama tempoh dua jam melibatkan 450 peserta pelbagai agensi.

"Acara bermula seawal jam 8.30 pagi dengan pengisian aktiviti penanaman 50 pokok rhu dan kelapa pandan, pembaikan pondok bas dan gotong-royong.

"Program ini bertujuan mengeratkan silaturahim antara jabatan kerajaan, agensi swasta dan MPKK (Majlis Perwakilan Komuniti Kampung) bersama MPK (Majlis Perbandaran Kuantan) selaku penganjur," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli MPK, Fadzilah Mohamed Tahir dalam ucapannya berkata, dalam usaha Kuantan Ke Arah Bandaraya, MPK mengambil langkah proaktif untuk menceriakan dan mengindahkan kawasan pantai.

Kira-kira 450 peserta terlibat dalam Program Kelestarian Persisiran Pantai 2019 di Pantai Sepat di sini hari ini.
Kira-kira 450 peserta terlibat dalam Program Kelestarian Persisiran Pantai 2019 di Pantai Sepat di sini hari ini.

Katanya, pesisiran Pantai Sepat yang panjangnya lebih kurang 4.5 kilometer dan terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Kuantan dipilih merupakan jalan alternatif kepada bandar Pekan DiRaja iaitu sebuah destinasi riadah yang popular.

"Keadaan pantai yang berpasir dengan rimbunan pokok rhu menjadi lokasi kegemaran pengunjung untuk beriadah pada hujung minggu.

Artikel Berkaitan:

"Namun apa yang menyedihkan sampah terutamanya beg plastik, bekas makanan dan minuman dibuang merata-rata di kawasan pantai.

"Program pada pagi ini jelas menunjukkan bukan pihak berkuasa tempatan sahaja yang memainkan peranan dalam memastikan alam sekitar tidak tercemar, malah pihak swasta dan MPKK juga sama bertanggungjawab," katanya.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pembangunan Komuniti dan Pelancongan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Pelancongan, SWCorp, Alam Flora, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Kem Wawasan Negara Bukit Sagu.