Berjuang demi lencana di dada

Khalid (belakang tiga dari kiri) dan Jamal Nasir (belakang lima dari kanan) bersama bekas pemain-pemain negara ketika mengadakan perjumpaan khas bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (duduk, tengah) di Wisma FAM, Kelana Jaya, 6 November lalu. FOTO: Football Association of Malaysia (Official)
Khalid (belakang tiga dari kiri) dan Jamal Nasir (belakang lima dari kanan) bersama bekas pemain-pemain negara ketika mengadakan perjumpaan khas bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (duduk, tengah) di Wisma FAM, Kelana Jaya, 6 November lalu. FOTO: Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

BOLA sepak diakui antara ejen paling ampuh dalam membentuk perpaduan, memperkukuh penyatuan seterusnya memperkasa pembinaan bina negara sejak dulu lagi.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, pada zaman beliau kemantapan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini jelas dapat dilihat menerusi penyertaan pemain-pemain pelbagai kaum yang membarisi skuad kebangsaan pada ketika itu.

Menurutnya, pemain-pemain negara melihat setiap panggilan bagi menjalani sesi latihan pusat skuad bola sepak negara untuk sesuatu pertandingan merupakan satu penghormatan tinggi.

“Perpaduan dalam kalangan kami pemain bola sepak pada ketika itu bukan wujud di padang sebenarnya kerana ia telah lama wujud sejak dalam kalangan kami sejak kecil lagi terutamanya di bangku sekolah.

“Jadi apabila saya dipanggil beraksi untuk negara saya tidak berdepan masalah membentuk keserasian bersama Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, mendiang Datuk R Arumugam, Datuk K Rajagobal dan beberapa lagi pemain lagi kerana matlamat kami pada ketika itu hanyalah bermain demi lencana di dada,” katanya.

Mengimbau keakraban dalam kalangan pemain-pemain negara ketika itu, Khalid yang pernah membarisi skuad negara pada 1980-an berkata hubungan mereka boleh disifatkan penuh dengan semangat kekeluargaan.

“Pernah satu ketika apabila Chin Aun atau Santokh Singh tidak datang menyahut panggilan skuad negara, kami dalam kalangan pemain mula tertanya-tanya mengapa mereka berdua tidak beraksi bersama skuad negara begitulah kami mengambil berat satu sama lain.

“Pada 1980, saya, Chin Aun dan Santokh Singh pernah sepakat memujuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang menarik diri dari menyertai skuad Olimpik negara,” katanya yang mengakui keakraban mereka diperkukuhkan apabila mengadakan aktiviti riadah bersama selepas sesi latihan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sukan paling popular dalam kalangan rakyat negara ini pada ketika itu bersifat amatur sememangnya disertai masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, pada zaman beliau pemain-pemain bola sepak negara ini begitu teruja mewakili negara kerana bukan mudah mendapat peluang menyarung jersi berlencanakan bendera Malaysia.

“Pada zaman saya dulu skuad negara seimbang dengan pelbagai kaum baik masyarakat Melayu, Cina atau India. Jadi apabila dipanggil mewakili skuad negara apa yang kami fikirkan hanyalah kemenangan negara.

“Ketika itu perpaduan telah wujud sejak kami berada pada zaman kanak-kanak lagi kemudian diteruskan pada zaman persekolahan.

“Jadi apabila kami mendapat panggilan mewakilinya negara ia disifatkan sebagai satu penghormatan kepada kami pemain-pemain,” katanya.