Perhimpunan empat parti politik hiasi hujung minggu

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama barisan-barisan Kepimpinan PKR yang baru di Kongres Nasional PKR ke-13 di IDCC. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama barisan-barisan Kepimpinan PKR yang baru di Kongres Nasional PKR ke-13 di IDCC. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Pada hujung minggu ini dan hadapan, satu lakaran sejarah bakal tercatat apabila negara julung-kalinya bakal menyaksikan penganjuran perhimpunan empat parti politik utama yang masing-masing melibatkan pihak kerajaan dan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), UMNO dan MCA.

Secara kebetulan tiga perhimpunan parti tersebut iaitu Amanah, UMNO dan MCA pula akan berlangsung di Lembah Klang dan hanya PKR pada tahun ini diadakan di luar kesibukan ibu kota iaitu di Bandar Raya Bersejarah Melaka.

Walaupun masing-masing mempunyai agenda aturcara tersendiri, malah nama pun berbeza seperti Kongres Nasional 2019 (PKR), Konvensyen Nasional 2019 (Amanah), Perhimpunan Agung 2019 (UMNO) dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi MCA, disebaliknya masing-masing mempunyai isu hangat yang dijangka mensensasikan laporan media.

Misalnya Kongres Nasional PKR 2019 yang merupakan perhimpunan pertama parti itu selepas pemilihan tampuk kepimpinan pada tahun lalu yang dijangka menyaksikan pertembungan antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah pemecatan serta-merta Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid dan seorang ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi serta perlucutan jawatan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadialan (AMK), Muhamad Mizan Adli dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad dijangka menghangatkan suasana kongres parti itu.

Bagi Amanah pula, walaupun mereka dikatakan parti kecil dalam Pakatan Harapan (PH) dengan hanya penguasaan 12 kerusi Parlimen, Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 6 hingga 8 Disember ini tidak kurang hebatnya apabila parti itu akan mengadakan sesi pemilihan kepimpinan baharu buat pertama sejak dilancarkan pada 16 September 2015 di samping isu integriti dan tuduhan parti tunggangan DAP dijangka menjadi agenda perbahasan konvensyen.

Dalam pada itu, selepas 19 bulan bergelar pembangkang, Perhimpunan Agung UMNO pula merupakan platform untuk mengumpul kekuatan menerusi kerjasama baharu Muafakat Nasional dengan Pas selain beberapa siri kejayaan mereka memenangi siri pilihan raya kecil (PKR) dan menjadi medan untuk 'membelasah' kerajaan PH ekoran pengurusan ekonomi yang kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan hadir di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di PWTC. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan hadir di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di PWTC. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Selain itu, usul pindaan perlembagaan UMNO yang membabitkan isu keahlian dan memudahkan penyertaan dalam UMNO dijangka dibentangkan dalam perhimpunan berkenaan.

Bagi MCA pula, walaupun ditangguhkan dari 2 November lalu untuk memberi laluan kepada PRK Parlimen Tanjung Piai, sebaliknya penangguhan itu ternyata berbaloi apabila mereka berjaya merampas kembali kerusi itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkembangan kejayaan PRK itu dan kerjasama Muafakat Nasional bersama Pas juga dijangka menghiasi topik perbahasan perwakilan dalam perhimpunan parti itu di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Isu ekonomi tetap jadi fokus

Mengulas lanjut, penganalisa politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, intipati setiap perhimpunan parti itu dijangka menyentuh isu kos sara hidup khususnya ketidaktentuan ekonomi negara masa kini dan menentukan hala tuju parti akan datang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, masing-masing ada agenda tersendiri tetapi hakikatnya setiap parti mempunyai matlamat sama iaitu membawa agenda kemajuan kepada negara.

"Tetapi saya jangkakan perhimpunan ini hangat dengan krisis kepimpinan PKR, Muafakat Nasional UMNO dan Pas, isu integriti pemimpin Amanah dan tidak kurangnya bagi MCA yang berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula menyifatkan, penganjuran keempat-empat perhimpunan politik itu adalah pertemuan tahunan antara tampuk kepimpinan dan akar umbi untuk melihat semula masa depan parti masing-masing.

"Mereka perlu muhasabah untuk menyemak kembali apa yang pernah dilakukan, terkini dan masa depan untuk menjamin sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Namun saya berpandangan, isu kos sara hidup dan ekonomi perlu diutamakan selain membincangkan soal hala tuju politik parti," katanya.