Suami isteri didakwa bunuh anak

Mohd Wirah dan Nur Aqma dituduh membunuh anak mereka berusia lima tahun.
Mohd Wirah dan Nur Aqma dituduh membunuh anak mereka berusia lima tahun.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan membunuh anak mereka yang berusia lima tahun, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Mohd Wirah Mohd Yakub, 33 dan isterinya Nur Aqma Rosli, 22, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Rashidah Baharom.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada Mohd Dizhwar Dzakry Abdullah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 163, Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini antara jam 10 pagi sehingga 10.26 malam pada 25 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abd Jalil Salam Muhamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula pada 17 Februari depan bagi menunggu laporan bedah siasat dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Nur Aqma yang juga warganegara Indonesia dan ibu tiri kepada kanak-kanak berkenaan turut didakwa menganiaya seorang lagi anak tirinya.

Artikel Berkaitan:

Namun, dakwaan yang dibacakan Mahkamah Sesyen itu juga merekodkan pengakuan tidak mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, Nur Aqma didakwa telah melakukan penganiayaan terhadap Mohammad Dayyan Daffa Mohd Wirah, 5, dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara Jun sehingga 25 Disember 2018 di alamat yang sama seperti pertuduhan terdahulu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili R Subash.

Hakim, Faiz Dziyauddin kemudiannya menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.