Cukupkah sekadar maaf?

A
A
A

PERKATAAN maaf selalunya diungkapkan dengan maksud untuk meminta pembebasan daripada sebarang tuntutan kesalahan atau kesilapan.

Lazimnya apabila seseorang melakukan kesalahan, ucapan maaf akan diberikan bagi menzahirkan kekesalan dan mengharapkan keampunan atas kesalahan yang telah dilakukan.

Selepas itu ia akan berakhir dengan persefahaman di antara kedua-dua pihak bahawa kesalahan itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Sebab itulah bermaafan menjadikan seseorang itu hebat dan beradab sebagai manusia. Kerana bermaafan akan membersihkan hati, mendidik rohani dan jasmani serta mengukuhkan persaudaraan.Namun apa yang berlaku ketika itu sungguh memalukan. Perkataan maaf nampaknya seperti tidak bernilai sepertimana yang diharapkan. Ia sekadar satu ungkapan bagi melepaskan diri tanpa membawa apa-apa makna. Selepas maaf dipinta, kesilapan serupa diulang semula.

Dalam tempoh setahun Malaysia Baharu, sudah beberapa kali perkataan maaf diucapkan. Terkini, insiden Jalur Gemilang berbucu lima dan berjalur sebelas memperlihatkan bagaimana perkataan maaf diucapkan sekali lagi tanpa sebarang makna.

Walaupun yang bersalah telah mengakui kesalahan dan meminta maaf, tiada sebarang tanda bahawa insiden biadab dan menghina negara ini akan berhenti dari berulang.

Bukan sekali insiden sebegitu berlaku. Sekadar mengingatkan beberapa insiden serupa, misalnya memasang bendera terbalik serta mengubah warna Jalur Gemilang dek protes tulisan Jawi yang berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.

Ingatan terhadap perkara itupun cukup untuk mencetus kemarahan di atas penghinaan sedemikian rupa terhadap lambang kemegahan dan maruah negara.

Itu belum dicampur lagi kenyataan menghina tentera kita sebagai hanya tahu makan tidur, tidak menghormati lagu Negaraku yang berkumandang dan insiden ‘Republik Malaysia’ dalam acara ratu cantik di Myanmar baru-baru ini yang jelas menampakkan betapa lemah dan tidak pekanya mereka itu terhadap sensitiviti bernegara.

Artikel Berkaitan:

Malangnya, hanya perkataan maaf yang diucapkan oleh sipelaku sebagai jalan keluar. Seolah-olah maaf sahaja cukup untuk membuat semua lupa terhadap apa yang berlaku.

Berulang

Di pihak yang berwajib, klise 'siasatan menyeluruh akan dilakukan dan diambil tindakan' terus digunakan bagi meredakan keadaan.

Setelah reda, kes terus senyap dan sunyi. Sehinggalah kes yang baharu pula muncul dan mengulangi perkara yang serupa.

Benar tindakan meminta maaf dianggap sebagai sifat yang berani dan bertanggungjawab tetapi mengakui kesalahan semata-mata belum cukup selagi mana tiada jaminan yang ia tidak akan berulang lagi.

Itulah yang sedang kita saksikan dalam insiden salah Jalur Gemilang iaitu bagaimana kesalahan serius itu terus berulang tanpa rasa takut dan sesal disebabkan tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berwajib.

Sudah tiba masanya kita bertegas terhadap perbuatan sebegini. Kalau di Amerika Syarikat (AS), tindakan sangat tegas dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati menghina panji kebesaran negara itu dalam apa jua bentuk dan keadaan dengan hukuman denda tinggi ataupun hukuman penjara (Rujuk Title 18, United States Code).

Kita juga ada beberapa akta yang boleh diguna untuk tujuan serupa seperti Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Kedua-dua akta itu secara umumnya cuba mencegah sebarang penyalahgunaan lambang-lambang kebangsaan secara tidak wajar.

Persoalannya, mengapakah ia tidak dikuatkuasakan?

Barangkali pihak kerajaan patut mempertimbangkan untuk memperkenalkan akta serupa dengan AS iaitu memperuntukkan tindakan undang-undang kepada mana-mana perbuatan menghina bendera negara sepertimana Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang membolehkan mana-mana individu dihukum atas keingkaran untuk berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Dengan apa yang berlaku, penulis yakin ramai bersetuju dengan apa yang dicadangkan.

Meminta maaf sahaja tidak cukup bagi mengajar perbuatan biadab dan khianat terhadap negara. Ia harus dianggap sebagai satu jenayah yang serius.

Sudah tiba masanya untuk kita bertegas dalam perkara yang berkaitan dengan lambang kedaulatan dan kemuliaan negara.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)