Cubaan gagalkan kelulusan belanjawan KPWKM perbuatan anti-nasional

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengundi tidak bersetuju pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada malam Selasa lepas adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mendekati anti-nasional.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu menyebabkan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan bernilai RM2.475 bilion untuk golongan miskin dan warga emas hampir tidak diluluskan di Dewan Rakyat adalah perbuatan serangan hendap tidak beretika dan politik tidak bermoral.

Menurutnya, peruntukan KPWKM itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana untuk manfaat golongan berpendapatan rendah (B40).

"Mengungkap detik cemas pada malam kerajaan Pakatan Harapan (PH) hampir kalah di Parlimen, saya pada mulanya berharap tiga Ahli Parlimen Pas yang berada di Dewan Rakyat dan sering bercakap nilai-nilai murni membantu orang miskin, OKU, golongan asnaf dan warga emas akan menyokong kerajaan PH pada malam itu tetapi ternyata tidak.

"Saya amat kecewa. Tiga ahli Parlimen Pas itu mengundi menentang belanjawan berkenaan dan jika bercakap soal dosa dan pahala, adakah tindakan mereka yang turut bersubahat dengan BN untuk menggagalkannya merupakan satu jihad mendapat pahala?" katanya melalui Facebook peribadinya hari ini.

Hassan berkata, pihaknya turut melihat UMNO, Pas, MCA dan MIC bersekongkol yang menyerang hendap untuk menggagalkan anggaran belanjawan Kerajaan PH adalah suatu politik bankrap.

Menurutnya, tindakan itu juga membuktikan UMNO dan Pas yang bergabung atas nama Muafakat Nasional tidak layak menggunakan istilah itu.

"Apa jadi kalau Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2020 untuk KPWKM tidak lulus? Dari mana kerajaan yang ada sekarang hendak cari RM2,473,374,500 untuk bantu rakyat amat memerlukan?

Artikel Berkaitan:

"Kalau hendak jatuhkan kerajaan PH dengan cara serangan hendap memalukan, tunggulah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti,"katanya.

Pada 26 November lepas pengundian bagi RUU itu agak terlewat disebabkan beberapa Ahli Parlimen tidak berada di dalam dewan semasa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan supaya pengundian dibuat.

Kelewatan itu mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan, bagaimanapun kesudahannya, rang undang-undang itu diluluskan dengan 45 menyokong dan 28 orang menolak.